Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ: Umno kena berdikari, bukan harap parti lain
Diterbitkan:  Jul 29, 2018 10:03 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

PRK SG KANDIS |  Umno dilihat perlu lebih kuat berdiri atas nama sendiri daripada mengharapkan sokongan parti lain - termasuk PAS - untuk terus diterima masyarakat, kata bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, walaupun wujud kemungkinan gabungan kerjasama dengan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, namun ia bukan bersifat jangka panjang.

“Untuk kali ini, tak mengapalah sebab PAS tidak bertanding, tapi bergabung untuk masa depan, kita kena tengok dulu,” katanya kepada pemberita selepas membantu kempen calon BN Datuk Lokman Noor Adam di Taman Setia, Johan Setia, di Kelang semalam.

Khairy berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lokman pada Selasa lepas yang yakin mendapat kerjasama daripada PAS dan jentera kedua-dua parti pembangkang itu akan mengadakan kempen bersama dalam masa terdekat.

Khairy yang juga anggota parlimen Rembau berkata , pengundi di kawasan Sungai Kandis harus bijak memilih wakil rakyat baru kerana jika BN menang, suara pembangkang akan menjadi lebih kuat dan dapat memastikan kerajaan negeri lebih berakauntabiliti.

“Seperti kita lihat, (komposisi) Dewan Undangan Negeri Selangor sangat berat sebelah kerana BN hanya ada empat kerusi saja (daripada keseluruhan 56 kerusi DUN).

"Dalam Malaysia Baru ini sekurang-kurangnya biar ada semak dan imbang," katanya.

​​​​​Pada pilihan raya umum Mei lepas, Pakatan Harapan menang besar apabila memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN Selangor dengan BN hanya empat kerusi dan PAS satu.

Ketika ditanya mengenai situasi politik di Sungai Kandis hasil jelajahnya membantu kempen BN, Khairy mengakui wujudnya kematangan politik di kawasan itu.

Katanya ia bertepatan dengan konsep Malaysia baru yang tidak mengamalkan serangan politik peribadi, ganas mahupun samseng.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama selepas PRU14 berikutan kematian penyandangnya Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada PRK 4 Ogos ini, calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan ditentang oleh Lokman Noor dan calon bebas, K Murthy.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS