Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung kenyataannya yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.
Beliau yang juga naib pengerusi DAP mendakwa sama sekali tidak mengeluarkan kenyataan itu atau menyebut tentang orang Melayu.
Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia hari ini bertajuk 'Kula Segaran dakwa Melayu bangsa pendatang' yang memetik rakaman ucapannya dalam satu program di Nilai, Negeri Sembilan pada minggu lalu.
"Ia satu fitnah dan pembohongan. Saya tidak pernah berkata begitu, ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenar," katanya dalam kenyataan.
Dalam majlis keagamaan Hindu di Nilai itu, beliau mendakwa ucapannya tentang gelaran pendatang terhadap mana-mana kaum, termasuk India, yang tidak sepatutnya berlaku.
"Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Agama Hindu dibawa oleh Orang India...(Ia) agama awal yang dianuti penduduk tempatan (ketika itu).
"Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu di Kedah telah membuktikan hal ini. Jadi tidak adil jika kaum India digelar pendatang, berdasarkan faktor sejarah ini.
"Dalam majlis berbahasa Tamil itu, saya tidak menyebut sama sekali tentang orang Melayu," katanya lagi.
Menurut laporan itu, Kula juga dipetik berkata bahawa orang Melayu sebenarnya pendatang di negara ini.
“Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka, merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang! Kita dan Melayu adalah setaraf. Ini tanah air kita!” katanya dipetik laporan itu.
'Transmigrasi adalah normal'
Beliau juga dilaporkan mengkritik mata pelajaran Sejarah yang hanya menyatakan asal-usul orang India yang menetap di negara ini sejak 100 tahun lalu saja.
Berhubung perkara itu, Kulasegaran berkata beliau mahu menekankan sejarah dengan fakta yang tepat dan lengkap agar setiap warga Malaysia tahu sejarah mereka sendiri.
Katanya lagi, transmigrasi (penghijrahan) adalah proses natural yang terjadi di seluruh dunia dan pelbagai kaum berhijrah mengikut keperluan semasa.
"Kita sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia," katanya lagi dan mendakwa Utusan sengaja memainkan isu itu untuk menimbulkan ketegangan.