Paling Popular
Terkini

Maklumat terkini di Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia bakal didiami masyarakat menua menjelang 2020.

Data yang dikumpul menjangkakan dalam tempoh berkenaan dianggarkan 7.2 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini akan berusia sekurang-kurangna 65 tahun.

Kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sesebuah negara mempunyai 7 peratus penduduk berusia 65 tahun akan dianggap sebagai masyarakat menua.

"Menjelang 2020, Malaysia dijangka mempunyai penduduk yang menua (ageing society), apabila ketika itu 7.2 peratus penduduk negara ini berusia 65 tahun dan ke atas.

"Hal ini berbeza jika dibandingkan pada 2017 apabila ketika itu penduduk berusia 65 tahun dan ke atas berjumlah 6.2 peratus," katanya di majlis pelancaran penerbitan laporan sosioekonomi negara di Cyberjaya hari ini.

Menyedari keadaan itu kata Dr Wan Azizah, kerajaan perlu menyediakan skim penjagaan dan kesihatan serta kemudahan tertentu bagi keselesaan kelompok penduduk terbabit.

Jumlah penduduk Malaysia dijangka meningkat kepada 32.5 juta menjelang 2020. Justeru sesuai dengan jangkaan penduduk warga tua akan berjumlah kira-kira 2.3 juta orang.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia jumlah penduduk berusia 65 tahun atau lebih meningkat secara tekal sejak beberapa dekad lalu.

Pada 1980 jumlah penduduk dalam kelompok usia itu ialah sebanyak 3.6 peratus dan menjadi 5 peratus pada 2010.

Dr Wan Azizah yang juga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pada masa sama kadar kesuburan dan jumlah kelahiran di negara ini menurun secara berterusan.

Sementara itu dua penerbitkan Jabatan Perangkaan yang dilancarkan Dr Wan Azizah hari ini ialah Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 dan Statistik Tempatan Malaysia 2017.

Laporan itu menyebut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 4.2 peratus pada 2016 menjadi 5.9 peratus pada tahun lalu dan berada di kedudukan tertinggi sejak 2014.

Dua negeri terbesar menyumbang kepada KDNK ialah Selangor (23 peratus) dan Kuala Lumpur (15.6 peratus).

Semua negeri juga menunjukkan peningkatan pada 2017 kecuali Pulau Pinang dan Labuan.

Di Pulau Mutiara kadar pembangunannya menunjukkan penurunan drastik bagi sektor pembinaan, iaitu daripada 24 peratus pada 2016 kepada hanya 6.6 peratus.

Labuan pula menunjukkan kelembapan dalam sektor kewangan.

Pendapatan per kapita pada tahun lalu ialah RM42,228 dan meningkat berbanding RM3,313 pada 2016.

Laporan kedua-dua dapatan itu boleh dicapai pada pautan ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS