Sebuah NGO mendesak kerajaan Pakatan Harapan bersikap adil dalam menangani isu Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).
Presiden NGO Malaysian Tamillan Today N Shanmugam menyamakan perjuangan LTTE dengan perjuangan rakyat Palestin.
"Kami rakyat Malaysia khususnya etnik Tamil menyokong penuh perjuangan Palestin kerana bagi kami perjuangan LTTE dengan Palestin sama sahaja.
“Kami faham perjuangan LTTE, maka kami sokong penuh perjuangan Palestin, kerana matlamat dan asas kepada kedua-dua perjuangan mereka adalah sama sahaja," katanya.
"Secara ringkas, LTTE dan pejuang Palestin berjuang demi tanah yang dirampas dan penubuhan negara sendiri. Maka, adalah tidak adil bagi kerajaan dan mana-mana pihak lain memperkecilkan perjuangan LTTE tanpa memahami secara dan fakta," tambah beliau.
Shanmugam berkata demikian sebagai reaksi kepada tindakan Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia mengadakan himpunan mendesak Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy meletakkan jawatan atas dakwaan mempunyai hubungan dengan LTTE.
Shanmugam berkata LTTE tidak pernah menindas orang Islam di Sri Lanka.
"Kononnya, LTTE membunuh Muslim pada tahun 90-an, (ini) cuma satu penipuan oleh kerajaan Sri Lanka.
“Tidak ada bukti yang kukuh menunjukkan LTTE bunuh orang Islam," jelasnya lagi.