Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pembangkang tak senang pengarah Khazanah letak jawatan

ULASAN | Peletakan jawatan semua sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad, patut ditangani oleh kerajaan agar tidak membantutkan pertumbuhannya serta GLC di bawah naungannya.

Peletakan jawatan secara beramai-ramai ini, berlaku seminggu selepas kerajaan menyelar Khazanah yang disifatkannya gagal membantu perniagaan Bumiputera.

Pembangkang tidak mahu menyentuh isu peletakan jawatan ini tetapi bimbang dengan kedudukan portfolio pelaburan asingnya serta kedudukan puluhan GLC di bawahnya.

Pembangkang juga bimbang jika penyusunan syarikat-syarikat di bawah Khazanah akan mengalami kemelut berikutan langkah tegas memecat dan memaksa pegawai tinggi lantikan kerajaan Barisan Nasional dahulu meletak jawatan.

Walaupun ia dilihat akan membuka peluang kenaikan pangkat kepada kakitangan sekarang, kerajaan juga boleh melantik orang pilihan mereka sendiri untuk menggantikan yang sedia ada.

Lantikan 'tangkap muat'

Apa yang tidak menyenangkan pembangkang ialah peletakan jawatan ahli lembaga pengarah sedangkan mereka ini benar-benar berkhidmat dengan cemerlang dan menyumbang ke arah kejayaan syarikat.

Portfolio pelaburan Khazanah boleh terjejas jika lantikan ahli pengarah mereka dibuat secara 'tangkap muat' dan berbaur politik tanpa mengutamakan prinsip korporat yang baik.

Jika diteliti kebolehan semua ahli lembaga pengarah, mereka ini benar-benar menerajui Khazanah dengan pengalaman dunia korporat seperti bank perdagangan serta Bank Negara Malaysia.

Oleh itu, pembangkang berharap kerajaan mencalonkan barisan yang setaraf ataupun lebih baik, agar iklim pelaburan tempatan dan pelabur asing khasnya, tidak terganggu dengannya.

Sebagai contoh, Khazanah yang memiliki sejumlah pegangan dalam Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Axiata Group, CIMB Group, Malaysia Airports Holdings, IHH Healthcare dan memiliki Malaysia Airlines, dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada kaunter di Bursa Malaysia.

Tambahan pula, Khazanah terbabit dengan projek 'sovereign wealth fund' di Singapura melalui usahasama dengan Temasek Holdings dalam pembangunan enam fasa pembangunan hartanah di republik itu, termasuk Marina One and Duo.

Tatkala hubungan dengan Singapura terjejas berikutan pembatalan projek HSR, sebarang perkembangan dalam Khazanah akan memberi kesan lanjut kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan republik itu.

Pembangkang berharap kerajaan akan 'menyelamatkan' keadaan ini secepat mungkin agar portfolio pelaburan Khazanah tidak terjejas dan menipiskan keyakinan pelabur asing yang beransur-ansur pulih pada masa ini.

 


DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI ialah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Presiden Umno dan Anggota Parlimen Bagan Datuk.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS