Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berharap rancangan penggabungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Beliau berkata sudah tiba masanya penggabungan dua entiti di bawah kementeriannya itu dilaksanakan bagi menonjolkan wajah baru dan bersaing dengan agensi berita antarabangsa.
“Saya rasa ini yang kita perlu lakukan iaitu melangkah lebih jauh ke depan. Kementerian mengambil kira saluran pesaing-pesaing seperti Reuters, CNN dan Al Jazeera.
“Kena faham dunia sudah maju dan ia terpulang kepada kita. Jika kita tidak bergerak pantas atau tidak mengakui sudah tiba masanya untuk bersaing, perkara itu akan membuatkan kita jauh ketinggalan,” katanya.
Gobind berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tayangan dokumentari berjudul Incarcerated Rhythm di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran.
Selain langkah penjimatan kos pengurusan, beliau percaya gabungan yang akan membentuk sebuah “Dapur Media” itu dapat menaik taraf kandungan-kandungan program yang disiarkan.
“Idea keseluruhan untuk penggabungan RTM dan Bernama adalah cuba untuk meningkatkan kualiti produksi. Saya sudah melihat kebolehan kedua-dua RTM dan Bernama, mereka ada kelebihan dan kekurangan masing masing.
“Jika kita mampu gabungkan kekuatan ini bersama kita boleh menyalurkan wang ke saluran lain dan dapat tingkatkan nilai serta kualiti berita dihasilkan pada tahap berlainan,” katanya.
Bagi melaksanakan pembaharuan berkenaan, Bernama dan RTM diarah menyerahkan kertas kerja cadangan penggabungan kedua-dua organisasi itu menjelang hujung bulan ini sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Gobind berkata, kementerian menganggap tugas yang ingin dilaksanakan sebagai satu cabaran hebat.
“Justeru, saya komited untuk berbuat demikian. Saya berharap boleh mencapai kata putus dengan segera,” katanya.