Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi ke China bulan depan untuk bertemu Presiden Xi Jinping, kata sumber-sumber kerajaan hari ini.
Ia akan menjadi lawatan pertama perdana menteri ke Beijing sejak memegang jawatan itu buat kali kedua dalam kerjayanya.
Lawatan kerja rasmi selama lima hari itu akan diadakan pada pertengahan bulan Ogos, kata sumber tanpa menyatakan tarikh yang tepat.
Mahathir dijangka disertai sekurang-kurangnya tiga menteri kabinet termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah.
"Perdana Menteri mempunyai jadual yang sangat ketat dari bulan Ogos dan seterusnya, bermula di Beijing. Di sana, Mahathir akan bertemu Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang.
"Beliau juga akan bertemu dengan pengerusi Geely, Li Shufu," kata sumber kepada Malaysiakini.
Geely kini memegang kepentingan sebanyak 49 peratus dalam Proton.
Daim buka laluan
Sementara itu, sumber lain mendedahkan lawatan oleh Tun Daim Zainuddin ke China merupakan satu kejayaan dalam "membuka jalan" untuk lawatan kerja Perdana Menteri.
"Daim berada di sana bagi lawatan dua hari untuk membuka pintu sebagai wakil pentadbiran Mahathir. Beliau adalah tokoh yang dihormati sebagai bekas menteri kewangan," kata sumber itu.
Malaysiakini difahamkan Azmin dan Lim mungkin ke China pada minggu pertama bulan Ogos menjelang lawatan perdana menteri untuk membincangkan beberapa projek mega Malaysia yang dikendalikan bersama firma Cina.
Bagaimanapun, salah seorang jurucakap menteri berkata perkara itu masih belum disahkan.
Sebelum China, Mahathir akan mengadakan lawatan ke Jepun sekali lagi dari 6 hingga 9 Ogos untuk menghadiri siri ceramah "Future Leaders" di Fukuoka. Perdana Menteri dijadualkan akan bertemu pemimpin perniagaan dan pelajar di sana.