Khairy Jamaluddin berkata beliau akhirnya kembali bercakap dengan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hubungan antara mereka berdua agak "tegang" mutakhir ini dan menurut Khairy, mereka berdua tidak bercakap sejak beliau tidak menyertai anggota pembangkang lain keluar dewan di hari pertama sidang Dewan Rakyat, minggu lalu.
"Memang ada sedikit ketegangan, saya lawan dia (dalam pemilihan presiden Umno). Tapi selain daripada itu, dia seperti abang saya...hubungan kami baik.
"Dia bercakap dengan saya sebentar tadi, untuk kali pertama sejak 'walkout'.
"Dia kata 'anda berucap hari ini?' dan say jawab 'ya," kata Khairy ketika ditemui pemberita di lobi parlimen selepas berucap dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Di-pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika ditanya mengapa beliau dilihat lebih gembira berbanding kebiasaan pada hari ini, Khairy tersenyum dan berkata ia kerana "presiden Umno bercakap dengan saya".
Dalam pemilihan Umno bulan lalu, Zahid menewaskan Khairy dan seorang lagi calon, Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan presiden.
'Menjadi suara bebas'
Terdahulu, Zahid mendakwa telah menawarkan tiga jawatan kepada Khairy namun ditolaknya.
Zahid berkata beliau menawarkan Khairy untuk menjadi 'regunya' dengan bertanding jawatan timbalan presiden, dan selepas itu menawarkan jawatan setiausaha agung dan ketua penerangan parti.
Ditanya tentang tindakannya itu, bekas ketua pemuda Umnop itu berkata beliau mahu menjadi suara bebas dalam Umno.
"Saya tidak mahu terikat dengan keputusan parti...Biarlah saay jadi suara bebas (dalam parti). Ini baik untuk Umno," katanya lagi.
Khairy berkata beliau tetap setia dengan Umno dan akan turut serta dalam kempen di PRK Sungai Kandis hujung minggu ini.