PARLIMEN | Walapun selalu bertentangan pendapat dalam perbahasan, anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN bersepakat untuk seketika hari ini apabila isu mengenai Israel dibangkitkan.
Terdahulu, Nurul Izzah Anwar (HARAPAN-Permatang Pauh) mengemukakan usul bagi membincangkan isu pengiktirafan Israel sebagai negara bangsa Yahudi.
Speaker Datuk Mohamad Ariff Yusof kemudian membuat penelitian dan mendapati ia memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan iaitu melibatkan kepentingan umum, perlu disegerakan dan membabitkan isu khusus.
Beliau kemudian memutuskan usul itu untuk dibahaskan oleh Nurul Izzah serta wakil kerajaan dan dilakukan dalam kamar khas parlimen.
Ketika itulah Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) bangkit meminta agar pihak pembangkang turut diberi ruang berbahas.
Kata Wee, pembangkang juga perlu diberikan peluang untuk menyatakan pandangan dan ia tidak semestinya berbentuk bantahan terhadap usul tersebut.
Permohonan Wee itu kemudian disokong Nurul Izzah dan meminta Mohamad Arif memberi ruang kepada pembangkang berbahas dalam usul tergempar itu.
"Kita telah membangkitkan usul untuk mengecam undang-undang dibawa oleh kerajaan Israel.
"Kita cadangkan agar Kementerian Luar Negeri (membangkitkan usul ini)," kata Nurul Izzah kepada media selepas sesi kamar khas dengan Wee berdiri di sebelahnya.
Kata Wee, beliau yakin usul itu akan turut mendapat sokongan pembangkang dan jika dibentangkan kerajaan, ia akan memudahkan perbahasan diadakan.
"Sekiranya Kementerian Luar Negeri boleh membawa usul ini sebagai usul yang diketengahkan oleh kerajaan, saya rasa (pembangkang) tak keberatan untuk memberi sokongan sebulat suara bagi mengecam tindakan Israel," katanya.