PARLIMEN | Kerajaan pusat hari ini mengakui tidak dapat menyegerakan penyaluran 20 peratus royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar bahan api itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata penangguhan itu dibuat kerana pihak kerajaan perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.
“Cadangan ini tak dapat dilaksanakan segera kerana bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 disebabkan pengiraan berdasarkan gross profit (keuntungan kasar) dan bukan nett profit (keuntungan bersih).
“Oleh itu, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan, ia akan mengambil masa kerana perlu ada pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Jika Petronas dikehendaki tambah royalti kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ia akan beri implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan kerajaan persekutuan," katanya.
Azmin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) yang bertanya waktu kerajaan pusat melaksanakan pemberian 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak.
Analisis dibuat
Bagaimanapun, Azmin berkata kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 secara adil.
“Jawatankuasa ini akan mengkaji dan mencadangkan langkah pembetulan, termasuk hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semula jadi negara, minyak dan gas.
“Namun, buku (manifesto) Pakatan Harapan (HARAPAN) tak letak jangka masa spesifik untuk melaksanakan usaha ini kerana pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat semasa yang perlu dipatuhi,” katanya.
Baca Kelantan tetap mahu royalti minyak 5 peratus
Katanya, pemberian royalti minyak 20 peratus itu berdasarkan keuntungan diperolehi Petronas.
“Cadangan tambah royalti petroleum kepada 20 peratus ini adalah berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan jumlah hasil pengeluaran kasar.
“HARAPAN telah membuat analisis struktur kos pengeluaran petroleum oleh Petronas.
"Analisis ketika itu dibuat dalam keadaan kekangan data untuk melihat sama ada peratusan jumlah royalti petroleum bagi negeri pengeluar petroleum boleh ditingkatkan kepada 20 peratus," katanya.