ULASAN | Ungkapan Rahmatan lil 'alamin bermaksud Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu merupakan rahmat untuk seluruh alam.
Ungkapan itu disebut dalam Surah al-Anbiya ayat 107.
Ini bermaksud ajaran Nabi Muhammad itu - hidayah, kebaikan dan keadilannya - merangkumi dan mencapai seluruh alam tanpa kecuali.
Muslim, bukan muslim, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan segalanya akan terangkum dalam rahmat yang dibawa oleh Islam.
Setiap pihak akan menerima bahagian hak mereka dari kebaikan Islam ini.
Maka, bukanlah rahmat lil 'alamin jika hanya mempertahankan hak atau pun membela keadilan untuk sesetengah pihak tetapi meminggirkan pihak yang lain.
Bukanlah rahmatan lil 'alamin jika hanya membela orang Muslim tapi membiarkan bukan Muslim dizalimi.
Bukanlah rahmatan lil 'alamin jika membela Melayu tetapi membiarkan selain Melayu dipinggirkan hak dan keadilan untuk mereka.
Demikian juga bukan rahmatan lil 'alamin jika hanya bangkit membela hak bukan Islam ataupun bukan Melayu tetapi membisu berhubung dengan hak Muslim dan Melayu.
Jika kita membantah pengganas di kalangan muslim, kita juga sepatutnya membantah pengganas di kalangan bukan muslim.
Jika tidak, itu bukan rahmatan lil 'alimin. Jika kita hanya lantang mengkritik sikap perkauman Melayu tetapi diam membisu apabila membabit bukan Melayu, itu bukan rahmatan lil 'alamin.
Ungkapan rahmatan lil 'alamin merupakan ungkapan anggun yang menjunjung maksud yang Allah mahukan daripada kehidupan insan iaitu adil dan ihsan.
Ia bukan slogan yang bersifat apologetik kerana mempertahankan diri dan merasa diri lemah atau tidak bermaya di hadapan pihak yang lebih kuat atau pihak yang kita tagih simpati dari mereka.
Slogan itu diambil daripada firman Allah yang kita ungkapkan dengan penuh kemuliaan diri tanpa rasa apologetik dengan agama-Nya.
Ia bukan sekadar untuk membela sesetengah pihak dan melupakan pihak yang lain. Apatah lagi jika sekadar membela penganut agama lain, melupai penganut agama sendiri.
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis. Rencana ini asalnya dimuat naik di media sosial beliau.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.