INKUIRI SUHAKAM | Pegawai Cawangan Khas (SB) Perlis Mohd Shamzaini Mohd Daud berkata hari ini beliau sanggup bersumpah dengan al-Quran bagi menyangkal pernah menuduh pihak polis bertanggungjawab atas kehilangan aktivis Amri Che Mat.
Norhayati Ariffin, isteri Amri sebelum ini mendakwa Shamzaini memberitahunya mengenai perkara ini ketika mereka bertemu di rumahnya pada malam 12 Mei lalu.
Bagaimanapun, pada hari ini Shamzaini berpegang kepada dakwaan penafiannya bahawa dia hanya bertemu Norhayati dengan tujuan bertanya untuk menyewa sebuah kedai yang dimilikinya dan tidak pernah tahu dia isteri kepada Amri Che Mat.
Shamzaini juga berkata Norhayati telah meninggikan suaranya apabila dia enggan memberikan maklumat mengenai kehilangan suaminya.
"Keadaan malam itu adalah Norhayati memberi tekanan kepada saya (untuk menyalurkan maklumat).
'Pegawai SB ambil Amri'
"Saya tidak memberikannya satu pun maklumat.
"Saya akan bersumpah dengan al-Quran," kata Shamzaini sambil menunjukkan panel siasatan sebuah kitab al-Quran yang dibawanya dalam begnya.
Peguam keluarga Amri dan Pengerusi Panel Siasatan Datuk Mah Weng Kwai sama-sama membantah tindakan itu.
"Kami tidak akan benarkan dia bersumpah dengan al-Quran. Dia sudah bersumpah (perakuan kebenaran) pagi ini," kata Mah.
Menurut Norhayati, pegawai SB itu memberitahunya Amri diambil oleh pasukan polis Bukit Aman yang sama mengambil paderi Raymond Koh yang hilang pada 13 Februari tahun lalu.
Norhayati berkata Shamzaini datang susulan perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei kerana tidak mahu menjadi sebahagian daripada dakwaan penculikan itu.
Pada 16 Mei, selepas empat hari pertemuan yang didakwa itu berlangsung, Norhayati membuat laporan polis bersama butiran maklumat bukti baru yang diterimanya berhubung kehilangan Amri.
Tiada laporan segera, meski didakwa terancam
Selain mendesaknya untuk memberikan maklumat, Shamzaini mendakwa dalam kenyataan saksi bahawa Norhayati telah menimbulkan ancaman terhadapnya, rakan sekerja Cawangan Khas dan juga keluarganya dalam melepaskan perasannya pada malam pertemuan mereka itu.
Hari ini, peguam Jerald Gomez mempersoalkan mengapa Shamzaini, sebagai pegawai polis, tidak melaporkan sebarang ancaman dengan segera.
"Saya fikir dia hanya menjadi emosi pada malam itu saja. Saya fikir perkara ini dapat 'settled'," jawabnya.
Pada 18 Mei lalu, Shamzaini akhirnya membuat laporan polis berasingan yang menafikan versi kejadian daripada Norhayati.
Gomez mempersoalkan tindakannya menangguhkan membuat laporan polis itu dan bertanya jika dia telah ditekan untuk melakukannya.
Shamzaini menafikan dipaksa tetapi mengakui telah bertemu dengan pegawai atasannya pada 17 Mei, sehari sebelum membuat laporan polis berkenaan. Dia juga berkata telah menerima "nasihat" dalam mesyuarat bersama atasannya itu.
Amri hilang pada malam 24 Nov 2016.