PRK SG KANDIS | Pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah bermula tahun hadapan turut menjadi bahan kempen BN pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, malam tadi.
Pengarah PRK Sungai Kandis Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sehingga hari ini, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) masih tidak tahu apa yang mahu dilakukan.
“Saya ingat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengubah dasar pelajaran melalui kepala, tetapi melalui kaki. Entah apa yang dia congak.
"Orang Negeri Sembilan kata entah apa sifirnya.
“Apa sifir beliau pakai untuk dasar pelajaran negara bermula dengan kasut hitam. Itu tak ada kerja namanya,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika berucap pada majlis pengenalan calon bagi PRK DUN Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam malam tadi.
Sementara itu, Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menyindir kerajaan HARAPAN yang mendakwa berjaya menurunkan harga banyak barang.
“Betullah tomato turun, dan ada satu lagi (harga barang) turun iaitu durian musang king kerana sudah tidak laku berikutan tidak dibenarkan masuk ke China lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, timbalan presiden Umno itu berkata jika kerajaan HARAPAN tidak mengambil langkah agresif memacu ekonomi negara, maka ia akan berdepan masalah.
“Dulu, sekampit simen berharga RM15 dan hari ini RM9.50 dan ia bukan disebabkan (pemansuhan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tetapi industri perumahan sedang menghadapi masalah kerana tiada lagi pemaju mahu meluluskan pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya akan memanggil ketua bahagian, pemuda wanita dan Puteri Umno untuk sesi pemukiman pada 11 Ogos ini.
“Selain itu, Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan membentangkan hala tuju parti untuk kita meneruskan apa yang boleh lakukan dan cara terbaik memperkasakan parti,” katanya.
Mohamad turut mendedahkan bahawa BN tewas banyak kerusi pada PRU ke-14 disebabkan oleh pergeseran dalaman dan bukannya pihak lawan cerdik atau terlalu kuat.