Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan akan kaji semula DEB, MEB
Diterbitkan:  Jul 23, 2018 3:35 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

PARLIMEN | Kerajaan akan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) bagi melihat sama ada dasar-dasar berkenaan masih relevan atau sebaliknya.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan William Leong (PKR-Selayang) di Dewan Rakyat hari ini.

Leong bertanya sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula dasar-dasar utama dan rancangan pembangunan ekonomi termasuk DEB dan MEB.

Menurut kementerian, penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) telah dijajarkan semula dengan hala tuju baru dan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Penjajaran ini amat perlu bagi memastikan hala tuju baru diambilkira dalam perancangan serta strategi pembangunan bagi tempoh 2018-2020.

"Penjajaran ini juga penting bagi menjamin segala usaha kerajaan benar-benar membawa hasil atau memberi faedah kepada rakyat tanpa berlakunya ketirisan penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya," kata kementerian bereknaan.]

Menurut kementerian, RMKe-12 dalam tempoh antara 2012 hingga 2015 akan mengandungi halatuju baru dengan fokus dan strategi pembangunan yang lebih komprehensif dan terpeinci.

"Sehubungan itu, selaras aspirasi Malaysia baru, dasar-dasar utama negara akan diteliti semula termasuklah Dasar Ekonomi Baru dan Model Ekonomi Baru bagi mengkaji sama ada dasar tersebut masih relevan atau tidak dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan serta dapat menjamin pengagihan yang adil (distributive justice).

"Susulan itu dasar baru yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan halatuju pembangunan sosioekonomi negara," jelasnya.

DEB diperkenalkan pada tahun 1970 berikutan rusuhan kaum pada Mei 1969 dengan matlamat untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional.

Dasar itu digubal dengan strategi serampang dua mata iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi.

Bagaimanapun, dasar itu kemudian dikritik kerana didakwa mengamalkan diskriminasi kaum dengan tindakan afirmatif bagi melindungi masyarakat Melayu dan Bumiputera.

MEB pula diumumkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 Mac 2010, yang bertujuan menggandakan pendapatan per kapita di Malaysia menjelang tahun 2020.

Dasar itu bagi mengalihkan tindakan afirmatif daripada berasaskan etnik kepada berasaskan keperluan dengan meningkatkan daya saing, serta menjadi lebih mesra kepada pasaran dan pelabur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS