Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Spekulasi dakwa serbuan SPRM untuk sabotaj lawatan Daim
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 6:43 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Timbul desas-desus bahawa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek berkaitan China baru-baru ini bertujuan mensabotaj lawatan Tun Daim Zainuddin di China, menurut akhbar Singapura The Straits Times.

Laporan itu berkata antara teori yang ditimbulkan oleh mereka yang dekat dengan Daim adalah, pihak dalam perkhidmatan awam yang mempunyai kaitan dengan kerajaan dahulu mungkin menyebabkan SPRM membuat serbuan itu kerana mahu merumitkan hubungan diplomasi dengan China.

Teori lain mengatakan serbuan dibuat untuk memalukan Daim, yang diserang beberapa pihak politik dalam kerajaan kerana pengaruh yang dinikmatinya sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Apa pun tujuannya, laporan itu berkata sumber diplomasi yang dekat dengan pertemuan Daim di China berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak China tentang tindakan SPRM itu, sebaik sebelum pertemuan dengan Menteri Luar Wang Yi.

"Daim, iaitu penyelesai masalah utama bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua Majlis Penasihat Kerajaan yang berpengaruh memberitahu Beijing bahawa serbuan itu satu insiden yang malang.

"Beliau juga menegaskan Malaysia kekal serius dalam mengekalkan hubungan erat dengan China, susulan keputusan kerajaan awal bulan ini untuk menangguhkan projek mega infrastruktur bernilai berbilion ringgit yang dimulakan pentadbiran Najib Razak," kata laporan itu.

Daim berjumpa Wang pada 18 Jun, hari sama SPRM merampas dokumen berkaitan Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL) serta Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Projek itu diketuai Biro Saluran Paip Petroleum China dan China Communications Construction Company (CCCC), dan telah dihentikan sementara beberapa minggu sebelum serbuan.

Menurut laporan, kunjungan Daim itu bertujuan merundingkan semula kontrak ECRL, MPP dan TSGP, sebelum kunjungan Mahathir ke negara itu bulan depan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan laporan itu dan hanya berkata beliau ke China atas "sebab khas".

Sementara itu, Straits Times melaporkan eksekutif kanan sektor pembinaan Malaysia yang terlibat dengan projek itu berkata, pihak China dalam projek itu melihat serbuan sebagai "strategi keras" untuk mendapatkan konsesi dari China dalam rundingan itu.

Bagaimanapun, laporan itu turut memetik mereka yang rapat dengan Daim menyangkal dakwaan serbuan SPRM tersebut untuk tujuan itu.

Menurut laporan itu, pegawai Malaysia yang enggan dinamakan juga menegaskan serbuan tiada apa-apa kaitan dengan lawatan Daim dan perlu dilaksanakan tanpa pertimbangan berat sebelah.

Malaysiakini sudah menghubungi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani berhubung perkara ini dan sedang menunggu maklum balasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS