Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata yakin Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar berusaha mahu menunaikan semua janji Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti yang terkandung dalam manifesto gabungan itu.
Justeru kata Harussani perdana menteri terbabit tidak dianggap menanggung dosa jika janji tersebut gagal direalisasikan selepas cubaan bersungguh-sungguh dibuat.
Dipetik Sinar Online Harussani berkata seseorang itu boleh dianggap menanggung dosa jika dia tidak berusaha, sebaliknya hanya berjanji semata-mata.
Merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir di Dewan Rakyat semalam Harussani menjelaskan ia adalah petanda kesungguhan perdana menteri mahu melaksanakan ikrar HARAPAN.
“Ini adalah satu kenyataan yang membuat pengakuan bahawa beliau (Dr Mahathir) akan melaksanakan janjinya.
"Kalau beliau tidak melaksanakannya akan menanggung dosa.
“Dr Mahathir benar-benar mahu melaksanakan janjinya tetapi sekiranya tidak berjaya, ia bukanlah satu dosa,” katanya.
Berserah kepada Allah
Beliau menambah seseorang hanya mampu berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat namun ketentuan sama ada ia berjaya atau sebaliknya terletak pada ketentuan tuhan.
Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga sependapat dengan Harussani dalam isu berkenaan.
Katanya sesuatu ikrar yang diiringi dengan usaha bersungguh-sungguh tidak akan dianggap berdosa jika gagal juga.
Baca Kalau kami berdosa, kami tanggung - Dr M
“Memanglah asalnya janji mesti ditepati sedaya upaya tetapi setelah dicuba, didapati tidak semua janji dapat ditunaikan dengan sebab yang tidak dijangka.
“Allah tahu bahawa manusia ada kelemahan dan pasti ada sebab kenapa manusia itu tidak mampu menunaikan janji itu,” katanya.
Wan Salim berkata manusia perlu berserah kepada Allah dan pada masa sama berharap mendapat keampunan, selain diberikan jalan supaya ada cara untuk merealisasikan janji berkenaan.