Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Taikun perniagaan kecewa Kerjasama Selatan-Selatan dihentikan

Taikun perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew melahirkan perasaan kecewa terhadap kerajaan BN terdahulu kerana memutuskan “Kerjasama Selatan-Selatan” iaitu pembangunan di Afrika Selatan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad bersara sebagai perdana menteri keempat sebelum ini.

Pengerusi dan juga pengasas Country Heights Holdings Bhd itu berkata sebelum ini, Malaysia bertuah kerana menjadi sebahagian daripada sejarah hebat Afrika Selatan melalui kepimpinan Dr Mahathir.

“Kita menyertai pembangunan di Afrika Selatan melalui Kerjasama Selatan-Selatan, tetapi saya mesti katakan bahawa saya sedikit kecewa selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan dulu, Kerjasama Selatan-Selatan diberhentikan.

“Afrika Selatan ialah tempat yang sangat istimewa untuk saya. Oleh itu, Malaysia dan Afrika Selatan mesti memperbaharui hubungan di antara kedua-dua negara ini dari segi ekonomi, pertanian dan pertukaran budaya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis ulang tahun 100 tahun Nelson Mandela di Kuala Lumpur.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Country Heights Holdings Bhd adalah antara syarikat Malaysia terawal yang melabur di Afrika Selatan menerusi projek pembinaan Pecanwood Golf and Country Club di negara terbabit.

Hari ini, Pecanwood Golf and Country Club dikatakan masih merupakan antara padang golf yang terbaik di Afrika Selatan.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan membantu negara kurang membangun dalam bidang seperti perancangan ekonomi, kewangan dan perdagangan, pertanian, pendidikan, latihan teknikal industri dan diplomasi sejak 1980.

Setakat September 2015, Kuala Lumpur memperuntukkan AS$200 juta kepada Program Kerjasama Teknikal Malaysia, yang memberi manfaat kepada 29,000 peserta dari 141 negara.

Sementara itu, Lee berkata, ungkapan Mandela iaitu ‘Long Walk to Freedom’ boleh digunapakai terhadap Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana sudah berjuang begitu lama untuk negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS