Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
E-pengambilan kerja di M'sia turun 11 peratus pada Mei
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Aktiviti pengambilan kerja dalam talian di Malaysia mencatatkan penurunan enam peratus dan 11 peratus masing-masing pada April dan Mei 2018, demikian menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI) terbaharu yang dikeluarkan hari ini.

MEI adalah pengukuran aktiviti pengumuman kerja dalam talian yang disusun setiap bulan oleh Monster.com yang merekodkan industri dan pekerjaan, menunjukkan pertumbuhan tertinggi dan terendah dalam aktiviti pengambilan kerja tempatan.

Monster.com berkata sektor minyak dan gas terus mencatatkan pertumbuhan dua angka sejak April tahun lepas dan tahun ini, ia sekali lagi meningkat 11 peratus tahun ke tahun pada April dan 14 peratus tahun ke tahun pada Mei.

“Bagaimanapun, dalam tempoh jangka pendek, sektor itu menyaksikan pertumbuhan lemah, turun dua peratus bulan ke bulan dan empat peratus bagi asas tiga bulan pada Mei,” kata syarikat itu.

Monster.com berkata penyedia teknologi maklumat, telekomunikasi dan perkhidmatan Internet, dan penyumberan proses perniagaan dan sektor perkhidmatan berkeupayaan Internet merupakan antara industri yang mencatatkan pertumbuhan utama bagi bulan kedua berturut-turut, naik lapan peratus tahun ke tahun pada April dan pertumbuhan kecil satu peratus tahun ke tahun pada Mei.

“Profesional dalam sektor hospitaliti dan pelancongan mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam kalangan pekerjaan, melonjak 31 peratus tahun ke tahun pada Mei, manakala industri runcit jatuh menjunam, turun 41 peratus tahun ke tahun.

“Tenaga pekerja perkhidmatan pelanggan paling kurang permintaan yang menyaksikan penurunan 37 peratus tahun ke tahun,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah Abhijeet Mukherjee berkata aktiviti pengambilan kerja dalam talian di Malaysia mencatatkan penurunan sebelum pilihan raya umum 2018 disebabkan ketidakpastian politik dan ekonomi yang menyebabkan pelabur dan perniagaan lebih berhati-hati.  

Beliau berkata industri minyak dan gas terus menerajui pertumbuhan tahunan yang positif, apabila analisis mengunjurkan prospek yang lebih baik bagi pemain huluan dan hiliran dalam sektor tersebut.

“Industri teknologi juga semakin rancak di Malaysia, dengan impak transformasi digital ke atas ekonomi dijangka meningkat dengan ketara sebanyak RM400 bilion menjelang 2025.

“Lebih banyak inisiatif telah diperkenalkan untuk membantu perniagaan menyesuaikan dengan teknologi digital yang baru muncul, dan ini juga dicerminkan menerusi penurunan permintaan terhadap jawatan lebih tradisional seperti perkhidmatan pelanggan dengan perniagaan mengubahsuai model operasi mereka,” kata Abhijeet.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS