Pasukan Petugas Khas telah merampas 40,161 batang balak dalam operasi membanteras pembalakan haram di beberapa lokasi hutan simpan di Sabah sejak 5 Julai lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata angka itu melibatkan rampasan di Kalabakan (25,221 batang), Tongod (9,300 batang), Ranau (5,091 kayu balak) dan Sandakan (549 batang).
“Ini merupakan antara langkah yang sedang kita lakukan untuk memastikan ketirisan hasil negeri tidak meningkat ataupun terbiar seumpama itu kerana kita dapati contohnya di beberapa kawasan yang siasatan telah dilakukan, ada kayu balak terbiar di situ dan didapati kayu balak ini tidak ada cukai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri, di Kota Kinabalu hari ini.
Katanya ada juga kayu balak yang ukurannya tidak mematuhi syarat pihak perhutanan selain membabitkan spesies tidak boleh ditebang seperti kayu belian.
“Selepas ini kita akan pastikan supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan,” katanya menambah pasukan petugas khas tersebut akan menjalankan siasatan lanjut dengan kerjasama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mohd Shafie berkata beberapa syarikat dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pembalakan haram itu yang dipercayai telah beroperasi sejak sekian lama.
Mengenai pasukan petugas khas tersebut, beliau berkata kerajaan negeri mengaktifkan semula unit berkenaan di bawah Jabatan Ketua Menterin susulan keputusan kerajaan negeri mengharamkan pengeksportan kayu balak selain memantau aktiviti pembalakan secara berkesan.
- Bernama