Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua pembangkang maafkan Salahuddin silap harga sayur, buah

PARLIMEN | BN memaafkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang mengakui khilaf mendakwa harga barangan makanan turun di antara 30 ke 50 peratus disebabkan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Pengerusinya dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita maafkan orang yang duduk di kerusi baru, untuk membuat kesilapan, selepas 100 hari kalau buat kesilapan lain, kita lakukan apa yang patut, sekarang kita maafkan walaupun itu memang kelemahan," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya kepada ketua pembangkang bagaimana cara menteri AMANAH itu merumuskan harga barangan makanan, khususnya harga buah-buahan dan sayuran yang turun di antara 30 ke 50 peratus selepas kadar GST sifar dikenakan.

"Sedangkan kita tahu (buah dan sayur) tak pernah dikenakan GST.

"Di mana logiknya seorang menteri boleh buat andaian begitu dan apakah teorinya yang digunakan oleh menteri tersebut?" Soal presiden MCA.

Diselimuti kebencian

Terdahulu, Zahid menempelak kerajaan kerana tergamak untuk menipu, membalas dendam dan kebencian terhadap hanya seorang individu berbanding keutamaan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai.

"Walaupun ia disia-sia, diselimuti dengan kebencian, pembohongan dan...isu-isu yang menjadikan the centre of gravity ada pada seseorang.

"Hakikatnya buatlah suatu lebih baik kerana rakyat mahu perubahan, bagaimana perubahan dijanjikan jika harga yang dijanjikan tidak turun, yang turun hanya tomato," katanya.

Annuar Musa (BN-Ketereh) pula berkata beliau tidak bersetuju dengan Zahid berkenaan penurunan harga barang.

"Minta maaf saya tidak setuju dengan kenyataan YB yang nyatakan hanya harga tomato turun sebab harga saham juga turun, getah, nilai kelapa sawit turun dan nilai ringgit turun," katanya.

Rantaian nilai

Bagaimanapun, sebelum ini Salahuddin mengakui membuat kenyataan harga sayur dan buah turun itu secara spontan hasil makluman orang awam kepadanya di beberapa lokasi selain laporan tinjauan umum terhadap penurunan harga bahan keperluan.

Selain itu, katanya, ia dibuat berdasarkan pemerhatiannya terhadap harga bahan makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipasarkan terus oleh petani di pasar tani.

Beliau berkata walaupun sebelum ini GST tidak dikenakan ke atas bahan makanan asas namun, keputusan kerajaan itu amat baik dalam usaha menurunkan kos pengeluaran makanan di sepanjang rantaian nilai.

"Ini terutamanya kos berkaitan input, kejenteraan dan perkhidmatan logistik pertanian," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS