Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib, BN tak tolong Melayu, kalau ada cuma Ali Baba, kata DPMM

Pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib tidak membantu orang Melayu dan jika adapun ia dalam bentuk Ali Baba, jelas Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Fauzi Hassan.

Fauzi memberikan contoh pemberian projek-projek balak sebelum ini.

“Tanya menteri-menteri besar Umno dan PAS, berapa banyak projek balak diberi kepada Melayu?

“Yang memberi balak ini adalah kuasa menteri besar, selama 60 tahun mereka memerintah di Terengganu, Kedah dan negeri-negeri lain berapa banyak pembalak Melayu? Kalau ada pun (cara) Ali Baba sahaja,” katanya menjawab soalan mengenai nasib Melayu tertindas di bawah kerajaan HARAPAN seperti yang didakwa sesetengah pemimpin Umno.

Mengulas lanjut isu perniagaan Ali Baba ini, Fauzi juga mendakwa pemimpin Umno sebelum ini bijak dalam memperdayakan orang Melayu untuk dipergunakan sebagai proksi pihak yang membuat keuntungan sebenar.

“Ini cara pemimpin Umno. HARAPAN baru pimpin 65 hari dah dipertikai, kenapa mereka yang pimpin 60 tahun tak dipertikai?" Soal Fauzi.

Siapa dapat tanah di Johor?

Bekas Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas juga bersetuju bahawa dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menindas Melayu adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau mendakwa pihak yang menindas kaum Melayu adalah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

“Yang menindas adalah Datuk Seri Najib dan kumpulan menterinya.

“Di Johor, siapa yang dapat tanah? Projek pasang papan tanda, siapa dapat? Seorang Melayu pun tak dapat dan jangan haraplah, kena marah pula lagi ada.

“Ahli saya, orang Melayu datang ke majlis perbandaran kena marah, bukan kata nak beri tender kena galah pula lagi. Siapa yang dapat?" Tanya beliau dalam sidang media di Ampang, Selangor, hari ini.

Bahkan, Syed Ali (gambar, atas) berkata pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat bagi mengenal pasti mereka yang mendapat tender kerajaan.

“Kita juga akan senaraikan nama-nama peniaga yang dapat dan malukan mereka, siapa pun mereka dan dari atas hingga akar umbi kita akan namakan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Najib yang juga bekas perdana menteri mendakwa Melayu menjadi mangsa penindasan kerajaan baru Pakatan Harapan.

Malah, Najib yang juga bekas presiden Umno menyifatkan, orang Melayu kini menjadi terbangsat di negara sendiri, sejak parti itu kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke 14 lalu.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali yang juga pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM (YKPD) memaklumkan Kongres Ekonomi Bumiputera kali ketujuh akan diadakan pada 25 Ogos ini yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pelancaran Tabung Untuk Negara Malaysia

Malah, Syed Ali juga berkata YDKP juga akan mengadakan satu majlis makan malam perdana pada 2 September ini bagi meraikan kemenangan Tun Mahathir dalam PRU14.

Kata Syed Ali, pada majlis makan malam itu juga YDKP akan melancarkan Tabung Untuk Negara Malaysia atau TUNM.

Menurut Syed Ali, setakat ini pihaknya telah mengumpulkan sejumlah RM500,000 dalam tabung tersebut dan melalui TUNM pihaknya akan menyalurkan RM125,000 kepada Tabung HARAPAN.

Manakala baki tiga perempat jumlah tabung tersebut akan dibahagi kepada fakir miskin, tabung dana pendidikan dan bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS