Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
N Sembilan pertama umum semua exco isytihar harta

Negeri Sembilan menjadi negeri pertama apabila kesemua anggota exco Kerajaan Negeri membuat pengisytiharan harta dan aset peribadi.

Menteri Besar Aminuddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Ismail Ahmad terlebih dahulu mengisytiharkan harta mereka pada 4 Dis tahun lepas melalui satu perakuan sumpah di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 yang juga sebahagian syarat yang ditetapkan oleh Invoke sebagai pertukaran khidmat sokongan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Aminuddin berkata pengisytiharan harta oleh exco-exco Kerajaan Negeri adalah antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU14 bagi memastikan negeri ini ditadbir oleh satu kerajaan yang berintegriti dan telus.

“Selepas ini, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PH yang lain pula akan membuat pengisytiharan harta dan aset peribadi mereka. Saya juga menyambut baik ADUN dari pembangkang untuk mengambil tindakan yang sama.

“Rakyat boleh melihat dokumen pengisytiharan harta ini di dalam portal kerajaan yang akan dimuat naik dalam masa terdekat dan akan dipaparkan dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengisytiharan Harta oleh Exco-exco Kerajaan Negeri, di Seremban hari ini.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ramli Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Aminuddin berkata walaupun ada yang membangkitkan soal keselamatan berikutan pendedahan harta dan aset peribadi yang dimiliki exco-exco, beliau yakin rakyat akan lebih menghargai keihkhlasan wakil rakyat yang dipilih oleh mereka.

“Memang pada peringkat awal itu kita ada bincangkan. Memang dari segi keselamatan kita khuatir tetapi saya rasa apabila rakyat tahu, rakyat lebih sayang dekat exco-exco yang telah isytihar harta.

“Para exco juga diminta untuk mengisytiharkan harta dan aset mereka dari masa ke semasa sekiranya ada membuat pembelian aset yang baru mahupun menerima sumbangan dari mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata antara aset yang perlu diisytiharkan oleh wakil rakyat adalah rumah, wang tunai, wang simpanan, kereta, tanah dan pegangan saham.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS