Parti-parti politik yang menerima dana berjumlah RM470 juta daripada akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum ke-13, harus mengembalikannya kepada tabung awam, kata Lim Kit Siang hari ini.
Pemimpin Veteran DAP itu dalam satu kenyataan juga menggesa anggota parlimen dari parti-parti tersebut supaya bercakap mengenai perkara itu semasa persidangan Dewan Rakyat.
Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu mengulas laporan Malaysiakini di laman mikro miliknya pagi ini yang mendedahkan bahawa parti-parti BN, termasuk bekas parti komponen, menerima sejumlah RM470 juta dari akaun Najib melalui 102 transaksi, antara April 2012 dan Ogos 2013 yang didakwa diseleweng dari dana 1MDB.
Wang songlap dari 1MDB atau derma? Ini watak-watak yang terdedah
Parti yang terlibat adalah Umno, MCA, MIC, Gerakan dan SUPP.
Gerakan dan SUPP meninggalkan BN susulan kekalahan gabungan itu dalam PRU14 pada 9 Mei.
Menurut pendedahan itu, Umno menerima bahagian paling besar sebanyak RM417.4 juta atau 88.8 peratus daripada dana itu.
Penerima kedua terbesar adalah MIC berjumlah RM20.55 juta dan MCA menerima sebanyak RM16.5 juta.
Wang tersebut diagihkan kepada bahagian, sayap dan bahkan sebuah perpustakaan parti.
"Parti-parti itu harus memulangkan RM470 juta yang mereka terima dari 1MDB kepada tabung awam sekiranya pendedahan itu benar.
"Umno, MCA, MIC dan SUPP memiliki anggota Parlimen dan mereka harus bercakap mengenai pendedahan Malaysiakini dalam perbahasan di Parlimen atas usul terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Lim.