Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana pergi semua menteri, soal MP BN
Diterbitkan:  Jul 18, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

PARLIMEN | Barisan kerusi kosong di sebelah kerajaan di Dewan Rakyat petang ini mengundang satu soalan daripada anggota parlimen BN: Mana pergi semua menteri?

Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata menteri dan timbalan menteri sudah beredar daripada Dewan Rakyat pada pukul empat petang, satu jam setengah lebih awal daripada waktu selesai sidang.

"Dulu mereka tanya mengapa kami selalu tak penuhi masa di Dewan Rakyat? Nampaknya mereka tak sehebat mana. Semoga ada perubahan selepas ini," katanya di Twitter.

Difahamkan kabinet mengadakan mesyuarat pada hari ini. Namun timbalan menteri tidak menyertai mesyuarat itu.

Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan sekurang-kurangnya seorang timbalan menteri, Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) berada di dalam dewan kira-kira pada pukul 4.30 petang.

Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula berkata tiada seorang pun menteri dalam berada dalam dewan ketika ketua pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong.

Justeru beliau mencadangkan agar mesyuarat kabinet diadakan pada hari Jumaat ketika sesi sidang dewan rakyat memandangkan tiada persidangan pada hari itu.

"Ini untuk menghormati urusan parlimen. Ia juga amalan kerajaan terdahulu, apabila parlimen bersidang, mesyuarat jemaah menteri dibuat pada hari Jumaat.

"Apabila parlimen tidak bersidang, kabinet boleh kembali bermesyuarat pada hari Rabu seperti biasa," katanya lagi.

Ketiadaan wakil kerajaan juga dijadikan senjata oleh beberapa anggota parlimen BN yang mengganggu ucapan Hasan Bahrom (Amanah-Tampin) berhubung pelantikan wanita dalam jemaah menteri seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yeo Bee Yin dan Rina Harun.

"Mereka sudah lari dan tinggalkan dewan...Tiada seorang pun di sini!" laung beberapa anggota parlimen BN.

Semalam, anggota parlimen pembangkang dijadikan bahan jenaka oleh Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan mereka agar "tidak lari" ketika memulakan ucapannya.

Ia merujuk tindakan mereka keluar dewan ketika speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yunos mengangkat sumpah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS