Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baja skim bantuan diseleweng bernilai RM1 juta dirampas
Diterbitkan:  Jul 18, 2018 7:06 AM
Dikemaskini: 11:12 PM

Sebanyak 18,927 beg baja padi dibawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai kira-kira RM1 juta dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Guar Chempedak, Kedah kelmarin.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam satu kenyataan hari ini berkata baja yang dirampas itu dibiayai di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan yang dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi bagi mengurangkan kos pengeluaran di samping meningkatkan pendapatan mereka.

Kementerian itu berkata Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengesahkan bahawa baja yang dirampas itu adalah baja yang dibekalkan oleh Nafas melalui kontrak kerajaan di bawah SBPKP.

MOA berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu premis berkenaan mendapati pemilik itu melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kementerian ini amat kesal dengan penyelewengan dan salah guna baja yang sepatutnya bertujuan untuk dimanfaatkan oleh pesawah,”kata MOA.

MOA berkata baja rampasan itu yang merupakan bahan bukti operasi telah dipindahkan ke suatu lokasi simpanan yang dikawal oleh pihak keselamatan.

"Siasatan lanjut seterusnya akan dijalankan bagi memastikan pihak yang terlibat dalam kegiatan penjualan baja di pasaran gelap dibawa ke pengadilan.

“Makluman mengenainya akan dikeluarkan sebaik sahaja siasatan ini selesai kelak,” kata kementerian itu.

MOA berkata ia dengan kerjasama KPDNHEP dan SPRM akan terus berusaha memerangi unsur-unsur ketirisan dalam membelanjakan peruntukan kerajaan disamping memastikan kegiatan yang tidak berintegriti ini dihapuskan sama sekali.

Rampasan di Guar Chempedak , Kedah itu merupakan rampasan kedua yang dibuat bulan ini. Pada 6 Julai, sebanyak 3,390 beg baja di bawah SBPKP bernilai lebih RM180,000 untuk jualan di pasaran gelap dirampas di sebuah kilang di Kampung Kebun Sayur, Bakri, Muar, Johor.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS