Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata anggota parlimen BN bertindak keluar dari Dewan Rakyat hari ini bagi menyampaikan mesej mereka terhadap kerajaan.
Anggota parlimen Ayer Hitam itu berkata langkah tersebut bagi membantah pemilihan speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kerana tidak mengikut Peraturan Mesyuarat.
"Sebaliknya adalah penting untuk kita menunjukkan bahawa Aturan Mesyuarat 4 (1) tidak dipatuhi," katanya dalam catatan Facebook petang ini.
Wee berkata tindakan anggota Parlimen pembangkang untuk membangkitkan isu aturan mesyuarat tidak diendahkan.
"Kami sedar sepenuhnya jika anggota parlimen pembangkang membangkitkan aturan mesyuarat selepas setiausaha Dewan Rakyat mengumumkan 'Speaker Dewan telah dipilih, parti kerajaan akan kata "sudah terlambat untuk membangkitkan point of order dan ia sepatutnya dibangkitkan sebelum speaker dipilih".
"Oleh itu, anggota parlimen pembangkang tidak mempunyai pilihan tetapi keluar dari Parlimen sebagai tanda protes bahawa prosedur Dewan tidak betul-betul dipatuhi," katanya.
Wee berkata pada 10 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengatakan Pakatan Harapan (HARAPAN) hanya memutuskan pemilihan speaker pada saat-saat terakhir, sehari sebelumnya.
Oleh itu, beliau berkata adalah mustahil dapat memenuhi tempoh notis 14 hari yang diperukan di bawah Peraturan Mesyuarat memandangkan notis itu sepatutnya dihantar paling lewat pada 2 Julai.
"Walaupun saya tak begitu gemar, isyarat protes ini penting kerana parlimen adalah badan tertinggi di negara kita dan memberi isyarat sama ada kerajaan baru akan mematuhi peraturan undang-undang dalam pentadbiran mereka," katanya.
"Kami juga mahu menghantar mesej bahawa sidang parlimen akan datang mesti ikut Peraturan Mesyuarat dan gesaan anggota parlimen pembangkang terhadap aturan mesyuarat tidak seharusnya diabaikan," katanya.