Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak keluar dewan, Anifah ucap tahniah pada speaker baru
Diterbitkan:  Jul 16, 2018 4:49 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

PARLIMEN | Selain Khairy Jamaluddin, seorang lagi anggota parlimen BN yang tidak keluar Dewan Rakyat untuk membantah cadangan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker pagi tadi adalah Datuk Seri Anifah Aman.

Malah, anggota parlimen Kimanis itu mengucapkan tahniah kepada bekas hakim Mahkamah Rayuan itu.

"Saya ucapkan tahniah kepada Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat atas pelantikan beliau hari ini," katanya dalam kenyataan.

Menjelaskan tindakannya, Anifah berkata tiada keperluan untuk beliau menyertai anggota parlimen BN dan PAS yang lain untuk meninggalkan Dewan Rakyat.

"Kita telah menzahirkan rasa tak setuju terhadap proses pelantikan speaker Dewan Rakyat hari ini.

"Saya menghormati pandangan rakan-rakan pembangkang, tetapi saya merasakan tidak perlu untuk saya bertindak meninggalkan dewan," katanya yang juga bekas menteri luar.

Tindakan Anifah dan Khairy itu menjadi antara topik utama hari pertama sidang Parlimen dan diperkatakan di media sosial.

Hari pertama sidang parlimen penggal ini bermula dengan ketegangan apabila pembangkang membantah pelantikan Mohamad Ariff yang didakwa tidak mengikut peraturan mesyuarat berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.

Mereka tidak menerima pemakluman Setiausaha Dewan Rakyat bahawa pihaknya menerima surat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelantikan itu pada 2 Julai lalu - mematuhi tempoh 14 hari sebelum sidang bermula.

Bagaimanapun anggota parlimen PAS dan BN yang keluar kembali masuk ke dewan tidak lama kemudian untuk mengangkat sumpah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS