Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak perlu diperkenalkan lagi berikutan tindakannya yang gemar mengeluarkan kenyataan bersifat seksis di Dewan Rakyat sebelum ini.
Ahli politik Sabah berusia 59 tahun itu sering membangkitkan kemarahan anggota parlimen pembangkang terutama wanita seperti Teresa Kok dari DAP.
November lepas pemimpin Umno itu mengeluarkan kenyataan seksis ketika membantah larangan pekerja wanita memakai tudung di hotel.
Menyifatkan larangan tersebut sebagai penindasan, Bung berkata pemakaian tudung tidak mempengaruhi kecantikan seseorang wanita.
"Apa masalah pakai tudung? Kalau dia perempuan cantik, walaupun pakai tudung, tetap cantik juga. Kalau pun dia tidak cantik, telanjang pun, siapa tak mahu?”katanya.
Malah Teresa Kok sendiri pernah menjadi 'mangsa' ucapan seksis anggota parlimen itu berhubung isu pemeriksaan badan di lapangan terbang pada 2014.
Bung juga mencuri perhatian apabila menulis di Twitter berbunyi "well done, bravo..long live Hitler" selepas kemenangan Jerman 7-1 ke atas Brazil pada separuh akhir Piala Dunia pada tahun sama.
Walaupun Bung terlepas daripada tindakan sebelum ini, namun kini beliau menjadi anggota parlimen pembangkang setelah mengangkat sumpah di Dewan Rakyat pada pagi ini.
Mengulas perkara itu Kok berharap Bung dapat belajar daripada kesilapannya.
"Saya terkejut kerana angin perubahan dalam PRU14 di Sabah tidak dapat menyingkirkan Bung dari Parlimen.
"Hari ini, beliau telah mengangkat sumpah sebagai MP pembangkang. Semoga dia akan menjaga kelakuan kali ini," tulisnya di Twitter.
Kok juga menyiarkan gambar beliau dan rakan dari DAP, Yeo Bee Yin bersama Bung, yang dipilih sebagai Anggota Parlimen Kinabatangan untuk penggal kelima.