Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata tindakannya tidak keluar daripada dewan rakyat bersama dengan pemimpin BN dan PAS kerana beliau menghormati majlis.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan pelantikan speaker namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan.

"Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

"Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Hormat majlis angkat sumpah

Bekas ketua pemuda Umno itu turut berpendapat lebih baik anggota parlimen menghormati majlis mengangkat sumpah.

"Dan kita tak buat apa tindakan yang mencemarkan imej BN sebagai pembangkang yang berwibawa dan ini saya bercakap bagi diri saya," katanya.

Pagi tadi hanya beberapa minit selepas anggota parlimen duduk di kerusi masing-masing untuk memulakan sidang parlimen, anggota parlimen Umno dan PAS melangkah keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Tindakan anggota parlimen pembangkang yang keluar dewan itu dipercayai berhubung cadangan pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.

Pelantikan itu dipertikaikan sebagai tidak mengikut peraturan dewan mesyuarat yang seharusnya mengikut peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.

Ketegangan bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat,Datuk Roosme Hamzah bangun mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, tiba-tiba ahli Parlimen BN dan PAS membantah menyatakan lantikan itu tidak sah.

Difahamkan, selain Khairy, Datuk Seri Anifah Aman (Umno-Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.

Bagaimanapun, Khairy, yang dikenali sebagai KJ itu dalam hantaran di media sosial mengulang hantaran pengguna Twitter, Madi Azmadi.

"Speaker baru dah dilantik. Maknanya, Pakatan Harapan mungkir janji lagi. Janji 16 dalam manifesto Pakatan Harapan janji untuk lantik speaker dari kalangan ahli Dewan," kata hantaran Madi Azmadi.

Tindakan KJ mengulang ciapan Twitter itu memberi gambaran beliau tidak keluar dewan bukan kerana beliau menyokong speaker sedia ada tetapi mahu mendokong integriti tata cara dewan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS