Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota Parlimen Rembau menafikan beliau adalah "si Tanggang" dalam Umno susulan tindakannya mengkritik Umno.

"Tak apalah sekarang ini kita sudah (ada) Umno yang lebih terbuka dan pemilihan parti pun semua ahli kata Umno lebih terbuka semuanya," katanya kepada media di lobi parlimen, hari ini.

Khairy berkata tindakannya itu tidak melampaui batas kerana ia merujuk keterbukaan kepada Umno.

Beliau juga memaklumkan masih menjadi anggota Umno.

"Saya tak melampaui batas, saya masih mengikut disiplin Umno tetapi apabila pandangan saya perlu dikemukakan, saya rasa keterbukaan baru saya rasa tak ada masalah, saya masih lagi umno saya tak kemana-mana," kata Khairy yang dikenali sebagai KJ.

'Gagal berperanan sebagai menteri'

Sebelum ini Setiausaha Kelab Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub menggelarkannya sebagai Si Tanggang kerana lantang mengkritik pemilihan parti, lapor Sinar Harian.

Mustapha berkata Khairy perlu melihat diri sendiri selepas gagal berperanan sebagai menteri belia dan sukan ketika era pentadbiran BN sbelum PRU14.

Khamis lalu, Khairy melalui  hantaran Twitternya menyifatkan Umno masih berada di takuk lama dengan sentimen perkauman dan tetap mempertahankan bekas presidennya yang didakwa atas kes rasuah dan pecah amanah.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ulang semula.

"Tidak salah kita bersolidariti dengan Datuk Seri Najib tetapi masakan itu sahaja Umno 'baharu'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat," katanya.

'Melayu ditakut-takutkan'

Tambahnya, Umno tidak mampu menang pilihan raya jika masih memainkan sentimen kaum berbanding isu yang lebih serius termasuk ekonomi dan sosial.

KJ berkata beliau tidak percaya memainkan isu kaum, berhubung pelantikan tokoh bukan Melayu dalam kerajaan akan memberi kelebihan kepada Umno.

Jika Melayu ditakut-takutkan dengan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum atau Tommy Thomas, katanya, "lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya."

"Keresahan Melayu memang ada tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain," kata KJ dalam ciapannya di Twitter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS