Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pilihan raya umum (PRU) yang ke-14 pada 9 Mei 2018 merupakan satu pilihan raya yang sangat menarik perhatian para pengkaji dan tentunya sangat boleh dibincangkan dengan banyak aspek.

Majoriti pengundi merupakan mereka yang lahir selepas kemerdekaan melibatkan generasi X dan Y. Maka keputusan ini adalah hasil daripada paradigma yang dibentuk dengan asas-asas, pendidikan dan kesan sosio ekonomi pasca kemerdekaan.

Selama ini, politik di Malaysia diketahui banyak dipengaruhi unsur perkauman dan agama. Isu-isu yang dimainkan, pembahagian kerusi dan seumpamanya belum bebas daripada kerangka etnik (Yusof Kasim, 2002).

Apabila keputusan PRU ke-14 meletakkan gabungan yang paling kurang membincangkan isu-isu yang eksklusif kepada etnik dan agama sebagai pemenang, maka ia adalah merupakan satu pengukuhan kepada wajah politik baru yang lebih menekankan wacana nasionalisme dan kesejagatan, keadilan sosial, peranan wanita dan pemuda, hak asasi manusia, kesaksamaan ekonomi dan layanan terhadap kelas masyarakat yang berbeza.

Sebahagian pengkaji seperti Yusof Kasim (2002) menakrifkan politik baru yang memberikan penekanan kepada aspek-aspek di atas dilahirkan semasa era reformasi 1998-1999. Ia diperkukuh setiap kali menjelang pilihan raya sehingga kemuncaknya pembentukan kerajaan baru di peringkat persekutuan pada pilihan raya baru-baru ini.

Corak undi Melayu

Corak pengundian orang Melayu pada PRU ke-14 menarik untuk dibincangkan kerana undi etnik Cina adalah sangat tinggi dan hampir mutlak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN). Ini dibuktikan di dalam keputusan kajian yang akan diterangkan selepas ini.

Maka, pecahan undi etnik Melayulah yang akan menentukan parti mana yang akan berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri di semenanjung Malaysia.

Ketika pilihan raya ke 13 pada tahun 2013, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS yang memasuki pilihan raya mendapat purata anggaran undi Melayu di seluruh negara sebanyak 35 peratus. Dengan jumlah ini dan bersama undi etnik-etnik lain, Pakatan Rakyat mendapat sebanyak 89 kerusi di peringkat parlimen.

Satu andaian yang dibuat dan selalu disebut-sebut adalah 35 peratus undi etnik Melayu itu hasil daripada undi penyokong parti PAS kepada Pakatan Rakyat.

Seterusnya sebahagian membuat kesimpulan bahawa parti-parti lain seperti PKR dan DAP tidak ada penyokong setia yang signifikan daripada orang Melayu terhadap parti mereka.

Begitu juga dengan Parti Amanah Nasional (AMANAH), satu parti baru dianggap langsung tidak punyai kekuatan penyokong selain menumpang kekuatan parti-parti lain dan etnik selain Melayu semata-mata.

Ketiadaan PAS

Apabila Pakatan Rakyat dibubarkan dengan ketiadaan PAS dan penambahan anggota AMANAH, maka terdapat andaian bahawa 35 peratus undi etnik Melayu kepada HARAPAN akan lupus.

Bagi yang memegang andaian ini, mereka meramalkan HARAPAN akan kalah teruk PRU ke-14, sementara BN akan memenangi sehingga 146 kerusi parlimen.

Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016 menjadi ujian untuk membuktikan andaian ini. AMANAH sebagai parti yang baru setahun penubuhannya bertanding dengan menggunakan logo parti sendiri sebagai mawakili HARAPAN dengan melawan BN dan PAS.

Di dalam keputusan PRK tersebut, didapati sebahagian daerah mengundi yang majoriti Melayu seperti Pekan Sungai Besar, Kampung Baharu Nelayan dan Taman Berkat di Sungai Besar dan daerah mengundi Manong di Kuala Kangsar, parti AMANAH mengatasi parti PAS (Ahmad Faizal, 2016).

Ini menunjukkan bahawa walaupun tidak kuat, terdapat undi asas etnik Melayu kepada AMANAH dan HARAPAN dengan tanpa kehadiran PAS di dalam HARAPAN. Ketiadaan pilihan raya kecil selepas itu menyukarkan pengukuran kekuatan undi Melayu kepada HARAPAN selain melalui tinjauan oleh badan-badan tinjauan.

Namun, hasilnya di dalam PRU ke-14 menunjukkan undi Melayu meningkat dengan jumlah yang signifikan daripada jumlah undi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Untuk mendapatkan komposisi undi mengikut etnik di dalam keputusan PRU ke-14 baru-baru ini, kami membuat interpolasi dan ekstrapolasi terhadap graf garis linear yang terhasil daripada titik-titik 'nisbah undi' per jumlah undi melawan 'peratusan etnik Melayu' bagi keseluruhan keputusan Parlimen dan DUN.

Teknik ini digunakan agak meluas apabila berlaku kesukaran untuk membuat tinjaun pada hari pengundian untuk mengetahui sub domain yang ingin dikaji di dalam satu-satu keputusan umum pilihan raya. Antara yang menggunakannya adalah Michael, S. (2005), Renfrow, P. (1993) dan Armstrong, J.S. (1985).

Terdapat syarat yang perlu dipatuhi di dalam penggunaan teknik ini iaitu jumlah data yang mencukupi, tertabur dengan sekata, mewakili bentuk linear dan ekstrapolasi yang tidak terlalu jauh.

Jadual 1 adalah peratusan undi yang diperolehi mengikut etnik bagi Semenanjung Malaysia sahaja. Etnik India agar sukar didapati dengan tepat melalui teknik ini kerana taburannya tidak sekata.

Undi etnik Cina hampir seragam bagi keseluruhan negeri di Semenanjung manakala undi etnik Melayu berada di dalam julat perbezaan maksimum 25% mengikut negeri-negeri. Oleh sebab ketidakseragaman ini, undi Melayu yang lebih menarik untuk dibincangkan.

Apa yang menarik daripada jadual di atas, dengan jumlah ahli Umno seramai 3.6 juta orang, ia adalah bersamaan dengan peratusan undi Melayu yang Umno dapati iaitu sebanyak 46% atau 3.6 juta orang juga. Ini seolah-olah menunjukkan pengundi BN adalah ahli dan pendukung Umno semata-mata dan tidak ketara jumlah pengundi luar daripada ahli Umno kepada BN.

Carta 1 menunjukkan bahawa undi HARAPAN di Semenanjung Malaysia adalah berkadar songsang dengan peratusan etnik Melayu bagi satu-satu parlimen dengan nilai pekali m bersamaan - 0.83.

Ia menunjukkan semakin ramai etnik Melayu di satu-satu tempat, maka semakin kurang jumlah undi yang akan didapati oleh HARAPAN secara keseluruhan. Interpolasi dibuat dan nilai purata dikira untuk mendapatkan nilai undi Melayu secara keseluruhan kepada HARAPAN iaitu 16%.

Bagi etnik Cina, undi HARAPAN adalah berkadar terus dengan peratusan etnik Cina dengan pekali m = 1.04. Seterusnya menerangkan bahawa semakin ramai etnik Cina di satu-satu parlimen, maka undi HARAPAN akan semakin bertambah. Dengan ekstrapolasi, nilai purata peratusan pengundi Cina kepada HARAPAN adalah sebanyak 92%.

Faktor Dr M

Dengan merujuk kepada jangkaan awal sebelum PRU ke-14 bahawa HARAPAN ketandusan undi Melayu, ramalan tersebut meleset dengan lonjakan jumlah peratusan 16% undi Melayu bagi purata negara dan 29% bagi purata Selangor dan Kuala Lumpur.

Salah satu sebabnya tentunya kerana kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan BERSATU di dalam HARAPAN. Maka, jika diandaikan terdapat strategi pecah undi yang hendak dilaksanakan, ia terbukti tidak berjaya dengan kekuatan sehingga 29% undi Melayu yang didapati oleh HARAPAN.

Analisis ini juga mendapati bahawa di dalam senario dua penjuru, HARAPAN melawan BN tanpa kehadiran calon PAS, undi penyokong PAS akan beralih kepada BN sebanyak 72% manakala kepada HARAPAN adalah sebanyak 28%.

Ia boleh disimpulkan bahawa pertandingan tiga penjuru memberikan kesan yang tidak baik kepada BN kerana PAS mengambil undi BN lebih banyak daripada HARAPAN.

Jika senario perlawanan dua penjuru BN melawan PAS tanpa kehadiran calon HARAPAN, sebanyak 75% daripada pengundi HARAPAN akan mengundi PAS manakala 25% daripadanya akan mengundi BN. Corak ini dilihat agak jelas di DUN Penaga, Pulau Pinang dan DUN Bukit Pasir, Johor.

Daripada keputusan ini, boleh dilihat bagaimanakah persepsi penyokong bagi kedua-dua parti terbabit melihat dua parti lain “yang manakah kurang mudaratnya berbanding yang satu lagi”.

Kedudukan Kelantan dan Terengganu

Bagi negeri Kelantan dan Terengganu, corak pengundian etnik Melayu adalah penting untuk diperhatikan kerana di kedua-dua negeri ini, peratusan etnik Melayu adalah sebanyak 95%.

Dengan peratusan yang tinggi ini, isu-isu yang berkait dengan sensitiviti dengan kaum Melayu dan Islam adalah diuji di kedua-dua negeri ini.

Selain itu, dengan sokongan etnik Cina seluruh negara yang bulat sehingga melepasi 90% kepada HARAPAN, maka undi Melayu yang berubah-ubah adalah penentu kepada kepelbagaian keputusan yang berlaku di seluruh parlimen di Semenanjung.

Dengan melihat Jadual 2, didapati purata peratusan undi etnik Melayu kepada HARAPAN di Kelantan (11%) setelah ditolak outliers yang berdiri di atas faktor-faktor terpencil adalah tidak begitu jauh daripada min nasional (16%).

Di Pantai Timur, ia adalah nilai yang tertinggi berbanding Terengganu dan Pahang. Ia juga hampir menyamai purata peratusan undi Melayu di negeri Perak.

Dengan merujuk kembali kepada kesimpulan Carta 1, tentunya yang membezakan kerusi yang dimenangi adalah kerana komposisi kaum yang berbeza di antara parlimen-parlimen di 4 negeri di atas.

Di Parlimen Sabak di Selangor yang mana komposisi Melayunya adalah 83% dibandingkan dengan parlimen Kota Bharu yang komposisi Melayunya adalah 85%, nisbah pengundi HARAPAN adalah sama iaitu 0.33 atau 33% daripada jumlah pengundi.

Angka di atas menunjukkan bahawa daripada sudut kekuatan HARAPAN, negeri Kelantan tidaklah ketinggalan daripada arus HARAPAN di peringkat nasional.

Satu keunikan negeri Kelantan dan Terengganu adalah ia merupakan barisan hadapan kepada AMANAH yang mengemudi HARAPAN di negeri tersebut tanpa kekuatan yang signifikan daripada parti DAP.

Sama ada benar ataupun tidak, terdapat isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu yang dimainkan secara pukal. Ia adalah seperti ancaman terhadap identiti Melayu dan Islam, LGBT dan seumpamanya. Ia sedikit sebanyak mempengaruhi corak pengundian.

Prospek HARAPAN di Kelantan cerah

Mengikut teori Gestalt, isu-isu yang yang terpisah yang dimainkan secara pukal akhirnya ditafsirkan sebagai satu kronologi yang bersambung. Isu-isu yang bersifat ancaman lebih mendatangkan kesan terhadap kognitif pengundi daripada isu-isu yang berkait dengan faedah.

Tinjauan rambang yang dilakukan kepada komuniti di Pengkalan Chepa menunjukkan bahawa hampir 80% pengundi tidaklah membaca secara penuh manifesto satu-satu parti.

Manakala hampir separuh yang membacanya pula tidak dapat menerangkan dengan jelas apakah yang terkandung di dalam manifesto satu-satu parti tersebut.

Ini bersamaan dengan kajian yang dibuat oleh Marcus (2008) tentang psikologi pengundi di AS, yang menyatakan bahawa di antara janji, track-recod, dan sentimen terhadap satu-satu calon, faktor sentimen lebih memainkan peranan di dalam menentukan perubahan undi.

Dengan keputusan di atas, apakah masa depan HARAPAN di Kelantan? Tanpa faktor lain, ia boleh dibahagikan dua senario.

Senario pertama adalah undi etnik Melayu adalah statik atau hanya menunjukkan perubahan yang tidak ketara. Jika ini berlaku, pilihanraya seterusnya hanya mengulangi keputusan yang sedia ada bahkan mungkin akan lebih teruk.

Terdapat satu kajian tentang group polarization dengan membawa contoh di dalam satu pilihanraya yang terdapat kelompok A dan kelompok B yang bertukar menjadi kerajaan dan pembangkang antara satu sama lain.

Bagi kelompok A yang anti establishment (pembangkang) menjadi establishment (kerajaan), akan ada sebahagian daripada undi kelompok A akan beralih daripada kelompok A kerana kebiasaan undi tersebut terhadap sifat anti establishment.

Begitu juga sebaliknya apabila kelompok B yang proestablishment (kerajaan) menjadi antiestablishment (pembangkang), akan ada sebahagian juga daripada undi kelompok B akan beralih daripada kelompok B kerana kebiasaan undi tersebut terhadap sifat proestablishment.

Bagi kebanyakan pengkaji, mereka meletakkan peralihan undi bagi kelompok A adalah lebih kecil daripada peralihan daripada kelompok B kerana faktor keselesaan (comfort factor). Dalam kes ini, kelompok A adalah HARAPAN dan kelompok B adalah BN.

Sebahagian pengkaji berani meletakkan peralihan undi daripada kelompok B atau BN adalah 20% atau mungkin lebih besar lagi di atas sifatnya yang sentiasa pro establishment.

Namun, peralihan undi PAS tidak dijangka besar atas sifatnya yang kekal antiestablishment. Kesemua perkara di atas ini dibincangkan dengan menganggap faktor-faktor lain adalah kekal sama.

Dengan senario ini, prospek bagi HARAPAN di Kelantan adalah cerah dengan disertai dengan persepsi yang bersih dan cekap di dalam pentadbiran serta menguruskan isu-isu yang berkaitan identiti Melayu-Islam dengan bijaksana.


Prof. Madya Dr Yohan Kurniawan merupakan pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.

Fadzlul Rahimi Ahmad Bustami merupakan calon Doktor Falsafah (Psikologi Industri dan Organisasi) Universiti Malaysia Kelantan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS