Malaysia mungkin memperoleh satu lagi bangunan tertinggi di negara ini menjelang 2030 yang buat sementara waktu dikenali sebagai "Tower M", menurut The Edge Property.
Menara itu dijangka melebihi ketinggian dua menara lain yang dimulakan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak - Menara Exchange 106 dan Menara PNB 118.
Menara Exchange 106, yang dijangka siap tahun ini merupakan bangunan setinggi 492 meter manakala PNB118, yang dijangka siap pada tahun 2020, berketinggian 635 meter.
Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dibina semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri keempat, berukuran 375 meter tinggi dan merupakan bangunan tertinggi di negara ini sejak dibina pada tahun 1996.
Sekiranya pembinaan "Menara M" berjalan lancar, ia akan menjadi bangunan pencakar langit pertama di bawah pentadbiran Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.
The Edge Property melaporkan bahawa "Tower M" akan dibina oleh KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH), pemilik Menara Berkembar Petronas dan dijangka memiliki 145 tingkat.
Laporan itu berkata, bangunan setinggi 700 meter itu akan dibina bersebelahan stesen MRT Timur KLCC, yang merupakan sebahagian daripada projek MRT2 yang sedang dalam pembinaan.
Ia memetik seorang jurucakap KLCCH sebagai berkata bahawa kerja-kerja meletakkan batu asas bagi menara pejabat itu sudah dijalankan tetapi pembinaan bangunan itu sendiri hanya akan bermula pada masa akan datang.
"Memandangkan spekulasi pasaran semasa, dijangka bahawa menara itu hanya akan dibina jauh di masa hadapan (Selepas 2030)," katanya.