Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Kerajaan tak payah tipu minyak RM1.50 seliter
Diterbitkan:  Jul 15, 2018 12:39 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) jelas menipu rakyat berhubung janji mereka untuk menurunkan harga petrol dan diesel.

Menurut bekas perdana menteri itu beliau memang yakin janji berkenaan tidak dapat ditunaikan HARAPAN, waima sehingga muncul 'kucing bertanduk' sekali pun.

"Saya tahu harga minyak tak boleh turun pada RM1.50, tak payah tipu.

"Saya tahu sebab saya menteri kewangan ketika itu.

"Saya tahu implikasi kalau harga minyak diturunkan kepada RM1.50," katanya yang dipetik Sinar Harian dalam laporan disiarkan akhbar itu hari ini.

Semasa membentangkan manifesto mereka menjelang PRU ke-14 lalu HARAPAN ada menyentuh mengenai isu harga petrol dan diesel yang ketika itu ditentukan secara mingguan.

Sesetengah pihak mendakwa HARAPAN menjanjikan harga minyak turun jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun berdasarkan manifesto yang dikemukakan HARAPAN ikrar yang dibuat ialah menstabilkan harga bahan bakar itu serta memperkenalkan semula skim subsidi bersasar.

Sebuah klip video yang ditularkan pula memaparkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berjanji bahawa harga minyak akan diturunkan sehari selepas gabungan pembangkang menawan Putrajaya.

Namun ia diragui kerana klip itu dipercayai dibuat sebelum PRU ke-13 pad 2013 lalu kerana Rafizi merujuk gabungan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.

Menurut Najib janji yang ditabur HARAPAN dalam manifesto sempena PRU pada 9 Mei lalu hanya bersifat dongeng dan bertujuan mempengaruhi pengundi.

"Saya berani bertaruh pada orang-orang kita, saya berani bertaruh cerita minyak turun RM1.50 seliter itu satu cerita dongeng sahaja.

"Tapi malangnya orang muda kita, pengundi pertama (kali) tak dapat lihat lebih mendalam daripada itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS