Paling Popular
Terkini

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden ke-10 MIC bagi menggantikan penyandang Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Kemenangan itu dicapai apabila Dr Subramaniam mengesahkan beliau tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatannya.

Perkembangan itu berlaku ketika MIC - khususnya Dr S Subramaniam sendiri - mengalami kekalahan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC Datuk S Gopalakrishnan berkata Vigneswaran menerima 1,808 pencalonan ketika majlis penamaan calon yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya selaku pengerusi jawatankuasa pemilihan bagi jawatan presiden MIC mengesahkan Tan Sri S A Vigneswaran menerima 1,808 pencalonan.

"Dengan tiada calon lain dinamakan, selari dengan Artikel 58.3 dan 52.12 Perlembagaan MIC, Vigneswaran dipilih sebagai presiden MIC bagi penggal 2018 hingga 2021," katanya diiringi tepukan gemuruh anggota parti.

MIC mengadakan pemilihan bagi jawatan presiden hari ini, sementara untuk jawatan-jawatan lain, termasuk ketua bahagian dan pengerusi negeri akan diadakan secara berperingkat.

Tak pernah bayang jadi presiden

Pada PRU ke-14 lalu MIC hanya memenangi dua kerusi parlimen dan tiga di peringkat dewan undangan negeri, manakala selebihnya kalah kepada lawan masing-masing.

Dr Subamaniam sendiri gagal mempertahankan kerusi parlimen Segamat yang diwakilinya selama beberapa penggal. Beliau tewas kepada calon Pakatan Harapan R Santhara Kumar dengan perbezaan besar, 5,476 undi.

Kekalahan BN pada PRU lalu juga menyaksikan hampir semua parti komponennya meninggalkan gabungan berkenaan. Setakat ini hanya MIC dan MCA yang masih setia bersama Umno dalam perikatan itu.

Kegagalan Dr Subramanian dikritik hebat oleh anggota parti dan mereka mendesak beliau memberi ruang kepada generasi baru untuk menjadi peneraju.

Sementara itu dalam ucapannya Vigneswaran berikrar untuk mengembalikan parti itu ke zaman kegemilangannya.

"Ketika saya dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, saya pernah berkata kepada Dr Subra bahawa, inilah jawatan paling tinggi mampu saya boleh pegang dalam karier politik saya.

"Namun, saya tidak sangka sokongan tidak terbelah oleh ketua-ketua cawangan MIC yang memilih saya sebagai presiden.

"Hari ini juga adalah sejarah bagi saya, sebab saya merupakan presiden MIC yang pertama yang mengetuai partinya sebagai pembangkang," katanya disertai ketawa.

Menurutnya lagi MIC kini kini berada dalam satu 'peperangan' namun beliau terharu dengan sokongan padu anggota parti.

Vigneswaran, 53, menyertai MIC pada awal 1980-an di Pelabuhan Kelang sebelum dipilih menjadi anggota parlimen Kota Raja pada 2004.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha parlimen Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam parti, Vigneswaran pernah menjadi Ketua Pemuda MIC dari 2003 hingga 2009. Pada 2014 beliau dilantik sebagai senator sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua pada tahun 2016.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS