Bekas peguam Negara Tan Sri Apandi Ali kini menjadi seorang daripada anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tidak seperti 25 anggota MT yang lain, Apandi - bersama 10 yang lain - menyertai badan berkenaan melalui lantikan.
Memetik kenyataan Ahmad Zahid, portal Umno Oline menyatakan pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9.2.8 Perlembagaan Umno.
Presiden Umno itu berkata pelantikan itu adalah langkah pertama beliau untuk membawa Umno menuju pembaharuan agar parti terbabit terus relevan dalam arena politik negara.
Pengumuman itu juga menyaksikan Tan Sri Annuar Musa kini dilantik menjadi setiausaha agung menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang diberi jawatan baru, iaitu bendahari.
Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula dipilih menjadi ketua penerangan mengisi tempat ditinggalkan Annuar.
Sepuluh lagi anggota lantikan untuk MT Umno ialah:
- Datuk Norliza Abdul Rahim (naib ketua Wanita Umno)
- Shahril Sufian Hamdan (naib ketua Pemuda Umno)
- Nurul Amal Mohd Fauzi (naib ketua Puteri Umno)
- Datuk Seri Anifah Aman (bekas menteri luar)
- Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (anggota parlimen Pasir Salak, Perak)
- Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib
- Datuk Johan Abdul Aziz
- Datuk Azizah Mohd Dun
- Datuk Abdul Rahman Mohamad
- Datuk Seri Hajiji Noor
Sementara itu Datuk Mohd Sumali Reduan pula dilantik sebagai setiausaha kerja Umno.
Pelantikan Apandi ke badan tertinggi Umno itu menarik perhatian kerana beliau ialah tokoh berprofil tinggi sebelum ini dan terlibat secara langsung dalam usaha kerajaan BN menguruskan isu skandal 1MDB.
Beliau dipilih menjadi peguam negara menggantikan penyandang semasa, Tan Sri Abdul Gani Patail mulai Julai 2015.
Bekas speaker jadi setiausaha
Apandi, 68, sebelum ini aktif dalam Umno dan pernah berkhidmat sebagai hakim dilantik menggantikan Abdul Gani, 62, ketika siasatan mengenai skandal 1MDB giat dijalankan.
Bagaimanapun ekoran kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu jawatan peguam negara kini diisi Tommy Thomas.
Berdasarkan kepada senarai diumum Ahmad Zahid itu, dua watak yang menjadi perhatian semasa pertandingan jawatan utama Umno baru-baru ini tidak kelihatan.
Mereka ialah tokoh politik veteran dari Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Untuk rekod Tengku Razaleigh dan Khairy ialah calon untuk jawatan presiden. Persaingan itu menyaksikan Ahmad Zahid mengungguli sokongan dari peringkat bahagian.
Turut diumumkan ialah senarai ketua-ketua perhubungan Umno negeri.
Ia agak menarik apabila bekas menter besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kini diberi tanggungjawab mengetuai parti itu di Perlis. Tugas itu sebelum ini disandang Datuk Seri Shahidan Kassim.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula ditugaskan mengetuai Umno Selangor.
Jawatan itu pernah disandang Datuk Seri Najib Razak sebelum digantikan oleh Tan Sri Noh Omar.
Seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid diberi tanggungjawab mengetuai Umno Terengganu.
Bagi Umno Sabah pula, bekas menteri dan bendahari Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik menggantikan Datuk Seri Musa Aman yang kini menjadi buruan pihak berkuasa negara ini.
Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin pula dilantik sebagai timbalan Salleh, manakala bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia diberi tugas sebagai setiausaha.