Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 pekerja maut, operasi di tapak pembinaan dihentikan
Diterbitkan:  Jul 14, 2018 5:59 AM
Dikemaskini: 10:08 PM

Kerja-kerja di tapak pembinaan di Jalan Dewan Sultan Sulaiman di ibunegara ini, dihentikan serta merta selepas kejadian yang mengakibatkan dua pekerja maut pada awal pagi hari Khamis.

Menurut Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan malam tadi, enam pekerja sedang menjalankan aktiviti kerja konkrit di tingkat 15 bangunan terbabit sebelum ‘slab’ konkrit dan struktur bentuk kerja runtuh dalam kejadian 2 pagi itu.

"Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta.

Sehingga jam 5 petang semalam, pihak majikan tidak membuat sebarang laporan kemalangan berhubung insiden tersebut.

Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) serta Akta Kilang dan Jentera (1967).

"JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan juga pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS