Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia pandang serius insiden provokasi penonton Indonesia
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 5:30 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Malaysia memandang serius insiden provokasi penonton Indonesia terhadap skuad Malaysia selepas tamat perlawanan separuh akhir Piala AFF Bawah 19 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Delta di Sidoarjo, Jawa Timur, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya dimaklumkan tentang provokasi penonton Indonesia selepas tamat perlawanan yang berakhir dengan kejayaan skuad Malaysia melangkah ke final dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia.

Beliau berkata insiden berlaku ekoran ketidakpuasan hati penonton dengan kekalahan pasukan mereka sehingga bertindak melakukan provokasi sejurus perlawanan tamat dan menyebabkan pasukan Malaysia lewat hampir satu jam untuk keluar dari stadium dan terpaksa diiringi polis Indonesia.

"Malaysia melihat perkara ini sebagai satu perkara serius kerana keselamatan dan kesejahteraan atlet sentiasa menjadi keutamaan pada bila-bila dan di mana jua mereka berada,” katanya dalam satu kenyataan berhubung insiden itu, hari ini.

Insiden tersebut tercetus berikutan rasa tidak puas hati penyokong Indonesia apabila skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.

Kejayaan itu menyaksikan skuad muda negara mara ke pentas final dan akan bertemu Myanmar bagi memburu kejuaraan pertama selepas gagal dalam lima aksi final sebelum ini

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata Malaysia menghargai usaha pihak berkuasa Indonesia yang tangkas dan cekap untuk mengawal keadaan dengan berkesan serta melindungi pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.

Beliau berkata pihak Indonesia telah menjanjikan peningkatan kualiti keselamatan menjelang perlawanan akhir dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita akan sentiasa memastikan kontinjen negara menghormati undang-undang dan peraturan sepanjang masa atas semangat kesukanan,” tegasnya.

Syed Saddiq berkata beliau yang akan ke Indonesia malam ini atas urusan kerja, akan mengambil peluang bertemu dan berbincang dengan pihak berkenaan di Indonesia memandangkan kontinjen Malaysia akan berada di Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia ke-18, Ogos depan.

"Adalah menjadi harapan saya agar penonton dan peminat sukan kedua-dua negara akan terus menyokong perlawanan akan datang dan sama-sama kita menjalinkan kerjasama erat antara kedua-dua negara dan juga dengan negara lain bagi membudayakan semangat kesukanan merentas sempadan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS