Sebuah NGO yang dikenali sebagai Pemantau Malaysia Baru akan menganjurkan himpunan pada 17 Julai bagi membantah 'pemerintahan DAP' yang didakwanya "memperkudakan" Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.
Presidennya, Lokman Noor Adam berkata bantahan itu akan diadakan di kawasan parkir Bukit Aman sempena keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke majlis angkat sumpah anggota parlimen di Dewan Rakyat.
Pada himpunan itu, mereka akan berarak dengan mulut ditutup dan tangan diikat sebagai simbolik hilangnya hak Yang di-Pertuan Agong, katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.
"Semua rakyat Malaysia dijemput hadir dengan membawa pita pelekat dan tali. Kita tidak akan menjerit atau terpekik terlolong kali ini.
"Sebagai simbolik hilangnya hak YDP Agong untuk bersuara dan menjalankan tanggungjawab baginda mempertahankan Islam dan kepentingan bangsa Melayu, kita akan berarak dengan mulut ditutup dengan pita pelekat dan tangan diikat," katanya.
Lokman dalam kenyataan mendakwa tindakan DAP mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi sudah semakin menampakkan kejayaan, bermula dengan pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, terbaru Tun Md Raus Shariff didesak meletakkan jawatan bagi dilantik seorang lagi "penganut Kristian", Tan Sri Richard Malanjum ke jawatan penting itu.
Richard, katanya merupakan hakim yang membenarkan kes murtad Lina Joy pada 2007 dan merupakan salah seorang daripada tiga hakim pada yang telah mengundi untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada Jesus oleh akhbar The Herald.
"Kalau umat Islam masih buta dan tidak nampak kebinasaan kepada agama Islam, kepentingan Melayu, tanahair dan kedudukan Raja-raja Melayu, tiada apa lagi yang dapat saya perkatakan.
"Sampai bila kita hanya mahu menentang kebatilan dengan hati?" soalnya.