Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Isu LGBT telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Ia mungkin satu pengalaman baru bagi sesetengah pihak khususnya masyarakat yang kurang terdedah kepada berita dunia luar yang semakin rencam.

Namun, di Barat, isu tuntutan hak golongan LGBT bukan lagi sesuatu yang baru. Jumlah golongan ini dan kadar simpati kepada golongan ini juga meningkat.

Dunia teknologi maklumat yang begitu pantas menjadikan pelbagai budaya dan amalan di tempat yang berbeza hadir ke tempat lain dengan pantasnya. Silang budaya dan cara fikir telah membentuk dunia yang baharu. Siapa yang lebih dominan, dia akan menguasai kempen budaya dan pemikiran. Akhirnya, diangkat slogan dan laungan mereka.

Maka, janganlah hairan jika banyak isu-isu baharu yang dahulunya ganjil tetapi hari ini menjadi sebahagian daripada isu penting yang kita wajar menanganinya.

Bagi muslim dan juga non-muslim, di sini saya ingin menyebut beberapa perkara berkaitan sikap Islam terhadap golongan LGBT ini untuk difahami.

Hubungan seks dengan jantina sejenis menyanggahi fitrah (natural disposition) dan agama yang lurus (dalam konteks ini, Islam). Namun begitu, Islam tidak membenarkan kita menuduh seseorang melakukan hubungan seks yang salah seperti menuduh perbuatan homoseksual atau zina.

Pengakuan Maiz bin Malik al-Aslami

Bahkan kita disuruh mengelakkan daripada menerima pengakuan perlakuan seks yang tidak mengikut peraturan yang sah. Ini kerana Islam tidak suka hal seperti ini dihebohkan.

Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya:

"Sesungguhnya Maiz bin Malik al-Aslami datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku telah berzina. Aku mahu engkau membersihkan daku. Rasulullah SAW menolak pengakuannya. Keesokannya dia datang lagi dan berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.

"Baginda menolak pengakuannya kali kedua. Rasulullah SAW menghantar wakil ke kaumnya lalu bertanya: Apakah kamu tahu dia ada masalah pada akalnya, ada sesuatu yang kamu rasa ganjil?

"Jawab mereka: Apa yang kami tahu dia sempurna akalnya dan kami lihat dia daripada kalangan orang soleh kami.

"Keesokan harinya, Maiz datang lagi kepada Rasulullah kali ketiga. Baginda sekali lagi menolak pengakuannya dan menghantar lagi wakil kepada kaumnya. Mereka memberitahu bahawa Maiz tiada masalah pada diri dan akalnya….”

'Tolak kes-kes maksiat peribadi'

Dalam riwayat Ibn Hibban, Rasulullah memerintah agar Maiz dihalau keluar dari datang kepada baginda supaya tidak terus membuat pengakuan zina tersebut.

Demikian Nabi Muhammad SAW menolak kes-kes maksiat peribadi daripada dibawa kepada pertuduhan. Maksudnya, jika ada pihak yang mengaku melakukan zina ataupun homoseksual, sepatutnya kita jangan melayan dan mempedulikannya.

Itu urusan taubat antara dia dan Allah. Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu. Bahkan kita disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang.

Perbuatan homoseksual merupakan satu dosa. Menuduh orang lain melakukan perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar. Mencari-cari kesalahan orang dalam maksiat peribadi antara dia dan Allah merupakan satu dosa yang dilarang oleh agama.

Dalilnya riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :

“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab RA pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila dihampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

"Lalu Umar RA berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: Kau tahukah ini rumah siapa?.

"Jawabnya: Tidak. Kata Umar: Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?.

"Kata ‘Abd ar-Rahman: Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: Jangan kamu mengintip. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka."

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi. Juga al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra).

Jika maksiat seperti homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan atau terbuka, maka bantahan terhadap maksiat itu perlu dizahirkan. Demikian juga jika kempen ke arah maksiat itu secara terbuka, maka jawapan balas juga secara terbuka.

Ini kerana perbuatan maksiat peribadi yang terbuka mengeluarkan maksiat itu dari daerah urusan peribadi seseorang dengan tuhannya kepada kempen terbuka yang mengganggu pihak yang lain dan iklim persekitaran.

Namun, bantahan itu hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan setiap pihak tanpa membawa kepada kerosakan yang lain. Sabda Nabi SAW:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Hak dalam hal yang berhak

Seseorang yang melakukan dosa dalam perkara tertentu, bukanlah bererti dia dinafikan hak dalam perkara yang lain.

Ini seperti dosa berzina atau homoseksual atau minum arak atau berjudi dan seumpamanya. Dosa-dosa ini dibantahkan dan diingkari, namun diri yang melakukan dosa tersebut tidak dinafikan haknya dalam hal-hal yang dia berhak.

Apatah lagi, dalam kehidupan bernegara yang setiap rakyat mempunyai haknya yang tertentu. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW mengajar kita cara berikteraksi secara seimbang ini:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (keldai). Dia sering menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak.

"Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap.

"Lantas Nabi SAW pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Interaksi nabi dan peminum arak

Dalam hadis ini, kita dapati sekalipun perbuatan minum arak itu satu dosa besar, namun peminum arak tersebut sering juga berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW sehingga baginda selalu ketawa dengan telatahnya.

Maksudnya, Nabi SAW masih berinteraksi dengan baik dengannya. Demikianlah, kesalahannya itu tidak memberikan lesen semudah-mudahnya untuk orang lain memakinya.

Nabi SAW melarang mereka mencercanya kerana baginda kenal kebaikan lelaki tersebut. Dosa tetap dosa. Namun, satu dosa tidak menjustifikasikan untuk dosa lain dilakukan ke atas diri yang berdosa.

Dalam konteks hari ini, hak pendidikan, hak jual-beli, hak bekerja, hak mendapat keadilan, hak harta dan seumpamanya bagi golongan yang melakukan dosa besar ini termasuk LGBT tidak diganggu selagi mereka tidak melanggar peraturan-peraturan yang berkaitan hal tersebut.

Atas dasar keadilan, semua peraturan terpakai kepada semua pihak yang terbabit secara adil dan saksama.

Homoseksual satu dosa, namun ia tidak menjadikan perlakunya terkeluar daripada Islam. Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia seorang muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain.

Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah. Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan Allah masih terbuka untuk mereka.

Sebagai muslim, mereka ada hak-hak sesama muslim yang wajib ditunaikan. Ini seperti nasihat-menasihati, memberi dan menjawab salam, menziarahi ketika sakit, menerima jemputan, mengiringi jenazah dan selainnya.

Demikian juga, sebagai insan tanpa mengira agama mereka berhak mendapat bantuan ketika memerlukan seperti kecederaan, dalaman ancaman dan seumpamanya.

Hak sesama muslim, manusia

Ini apa yang Nabi SAW sebut tentang hak-hak sesama muslim dan juga hak-hak sesama manusia dalam pelbagai nas al-Quran dan hadis.

Amalan kepada seks sesama jenis ditolak oleh Islam. Ia satu menyalahi apa yang Allah mahu daripada manusia. Ia songsang.

Tuhan menciptakan lelaki dan wanita. Melalui perhubungan seks kedua-dua jantina ini manusia membiak dan berkembang secara fizikal dan emosi.

Seks sesama jenis merosakkan fitrah yang Tuhan ciptakan manusia. Ia merosakkan rohani dan jasmani insan. Ini seperti seks sesama mahram (incest), ataupun manusia dengan haiwan.

Jika seks sesama jenis diiktiraf atas asas hak asasi, maka seks sesama mahram (incest), seks dengan isteri orang lain, seks dengan haiwan dan seumpamanya dengannya juga nanti akan diiktiraf atas asas yang sama.

Terjatuh dalam dosa

Islam sebagai agama fitrah tidak mungkin mengiktiraf hal ini semua. Islam menolaknya dan menganggapnya keji. Ini jelas apabila Allah merakamkan ucapan Nabi Lut terhadap kaumnya:

(maksudnya)"... dan (Nabi) Lut juga ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas." (Surah al-‘Araf 80-81).

Benar, seks sesama jantina merupakan satu dosa. Dalam masa yang sama perlu kita ingat bahawa ia juga kadang-kala satu ujian terhadap jiwa sesetengah individu. Mereka sebahagiannya tidak dapat mengawal nafsu yang tidak sewajarnya itu. Akhirnya mereka terjatuh dalam dosa tersebut.

Kita juga mempunyai dosa dalam perkara yang lain. Seperti mana kita mengharapkan keampunan Allah, demikian juga sebahagian mereka. Maka, tugasan kita bersama membantu antara satu sama lain kembali kepada Allah dan mendapatkan keampunanNya.

Dakwah kembali fitrah

Dakwah agar golongan LGBT kembali fitrah merupakan dakwah yang mulia. Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar.

Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu. Ini seperti firman Allah:

(maksudnya) “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Islam tolak amalan seks songsang

Maka, laras bahasa yang kita guna pakai dalam mengimbangi dakwaan mereka bahawa mereka juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini.

Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut, namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain daripada segi keinsanan dan persaudaraan sesama muslim.

Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh penuh cinta dan taubat.

Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik.

Golongan LGBT sama seperti kita semua, di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang.

 


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Perlis. Rencana ini asalnya di media sosial beliau.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS