Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos hari ini mengaku bersalah atas kesalahan melakukan mudarat awam di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.
Ia bagi kesalahan bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkenaan tindakannya memecahkan sejumlah botol arak dengan penukul besi di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 5 Oktober lalu.
Menurut Bernama, Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman denda RM400 atau sebulan penjara, selepas Jamal menukar pengakuannya daripada tak bersalah kepada bersalah.
Dia yang sebelum ini ditahan di Penjara Sungai Buloh hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja biru dan berjaket hitam, serta dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis.
Pada 25 Mei lalu, Jamal dihadapkan dengan dua pertuduhan melakukan mudarat awam namun melarikan diri ketika proses ikat jamin.
Selepas lebih sebulan bersembunyi, dia kemudian ditahan 2 Julai lalu di Jakarta Selatan oleh polis Indonesia dan dihantar pulang tiga hari kemudian.
Selain dua tuduhan mudarat awam, dia juga didakwa atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan polis ketika dibawa Mahkamah Majistret Ampang sebaik tiba dari Indonesia.
Dia mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan itu.
Mahkamah tidak membenarkan permohonan ikat jamin dan mengarahkannya ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan kes pada 30 Julai ini.