Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jahil sungguh orang Melayu mahu tutup tahfiz, iktiraf UEC'

ULASAN | Jahil sungguh sebahagian orang Melayu yang bergelar dan berjawatan apabila berkata tutup sekolah tahfiz  dan iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC).

Menjadi jahil murakab apabila mahukan sekolah tahfiz ditutup. Mereka ini rakyat Malaysia atau bukan? Membaca perlembagaan atau tidak?

Peliknya, kenapa mereka tidak sensitif langsung, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu selaku bahasa negara?

Sepatutnya, sebagai rakyat Malaysia, semuanya mesti fasih berbahasa Melayu, seperti keluarga Cina saya.

Persoalannya, kenapa masih ada, malah ramai dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk wakil rakyat, bercakap bahasa ini berterabur, sedangkan kita sudah merdeka lebih 60 tahun?

Dalam keadaan sebegini pun, lebih hina lagi apabila ada yang mendesak kerajaan mengiktiraf UEC, meskipun ia bercanggah dengan hasrat kerajaan dan agenda pembinaan negara bangsa.

Fikir dahulu sebelum berkata

Agenda negara seperti bahasa Melayu mesti dikuatkuasakan dan jangan dipolitikkan. Belum pun 100 hari saya lihat kesilapan demi kesilapan telah dilakukan barisan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mengetuai kerajaan Malaysia. Mungkin disebabkan ramai dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengalaman.

Ada yang terlalu baru dalam dunia politik. Langsung tidak pernah terlibat dalam pimpinan cawangan atau bahagian, tiba-tiba bertanding, menang, terus dilantik menjadi ketua menteri, menteri atau timbalan. Lebih malang lagi apabila bercakap tidak berlapis atau fikir dahulu sebelum meluahkan.

Saya harap dalam proses pembelajaran itu mereka akan menjadi matang. Fikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata atau sebelum bertindak. Jika tidak, tidak sampai pun lima tahun lagi, pasti mereka akan ditukar. Rakyat Malaysia sudah bijak.

Saya tidak dapat menerima sama sekali apabila ada rakyat Malaysia tidak dapat bertutur dan memahami bahasa negara atas beberapa alasan.

Pertama, sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan lahir di Malaysia, tidak ada alasan untuk tidak fasih bahasa Melayu, kecualilah mereka lahir di China atau di India; dan

Kedua, bahasa Melayu adalah bahasa negara, mana mungkin rakyat Malaysia tidak dapat menguasainya. Apa yang mereka buat selama ini?

Ketidakfasihan Peguam Negara Tommy Thomas dalam bahasa Melayu antara isu yang dibangkitkan pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti peguam negara sebelumnya. Namun, tidak dihiraukan.

Saya sangat terkejut apabila peguam negara sendiri berkata beliau akan mempelajari bahasa Meayu yang telah ditinggalkan selama ini, lebih 40 tahun berkecimpung dalam sektor perundangan.

Kenapa ditinggalkan bahasa Melayu sedangkan kita tinggal dan mencari makan di sini? Orang Bangladesh yang tidak sampai setahun di sini pun boleh bertutur dan memahami bahasa Melayu dengan baik, kenapa kita yang bergenerasi tinggal di sini tidak dapat menguasai bahasa negara ini?

Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia? Kita resah jika mereka jahil bahasa Inggeris atau bahasa ibunda tetapi kita tidak langsung kisah jika mereka jahil bahasa Melayu?

Peguam negara yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, meminta perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeri. Beliau berjanji akan memperbaiki kelemahan berbahasa Melayu.

Alasan beliau, ketika menjadi peguam selama 42 tahun, berurusan dengan anak guam, pada dasarnya klien komersial dan dokumen, beliau mengabaikan bahasa Melayu. 

Penggunaan di mahkamah

Persoalannya, bolehkah bahasa dikuasai sepenuhnya dalam jangka masa singkat sementara menunggu 5 tahun lagi?

Inilah akibatnya apabila kita memandang remeh agenda negara. Sibuk berpolitik. Agenda negara menjadi percaturan politik. Apabila penegasan dibuat, maka di situ ada kepentingan politik, akhirnya agenda negara diketepikan demi mendapat undi.

Apakah kita sudah lupa, pada 10 Oktober 2009, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah?

Hakim tersebut berkata, keutamaan bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah mesti dibuat dalam Bahasa Kebangsaan.

Begitu juga Peraturan 101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994, menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam bahasa kebangsaan.

Peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah. Menurut penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan ketika menolak rayuan Anwar dalam saman fitnah RM100 juta terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut hakim, bahasa Melayu mesti digunakan bukan sahaja ketika prosiding, tetapi juga dalam memfailkan dokumen mahkamah. Kegagalan pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa Melayu akan menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan.

Beliau berkata, mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan dokumen mahkamah dalam bahasa Melayu seperti ditetapkan undang-undang.

Memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris yang difailkan Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak. Perayu mesti memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan. Tiada bahasa lain akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan.

Untuk makluman, Anwar memfailkan saman pada 26 Januari, 2006, mendakwa kenyataan Dr Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu. Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu (Bernama, 9 Disember 2009).

Saya masih yakin dengan apa yang saya tulis selama, jika dibanci selagi lagi penduduk Malaysia setiap 10 tahun, bagi tahun 2020 nanti, bukti-bukti seperti ini pasti akan berulang.

Pada 2010 apabila banci penduduk dibuat, rupa-rupanya begitu ramai rakyat Malaysia, terutama orang Cina tidak dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu. Pembanci terpaksa membawa penterjemah sebagai pengantara untuk menterjemahkan bahasa Melayu yang disampaikan pembanci ke dalam bahasa Cina (juga India).

Wajarkah rakyat Malaysia terpaksa menterjemahkan bahasa Melayu selaku bahasa negara kepada rakyatnya sendiri? Pergilah ke dunia lain dan lihat. Tidak pernah ada berlaku, kecuali di Malaysia.

Inilah akibatnya apabila kita terlalu rasis dan obses dengan bangsa sendiri sehingga agenda negara ditolak ke tepi. Sistem pendidikan berasaskan kaum terus bersarang sehingga tidak boleh disentuh. NGO dan parti politik ultra kiasu lebih berkuasa daripada Kerajaan. Kerajaan terpaksa tunduk untuk kekalkan kuasa.

Kajian saya ke atas orang Cina membuktikan, majoriti mereka tinggal di kawasan perumahan Cina, bersekolah Cina, mendengar dan menonton siaran radio dan TV Cina, membaca akhbar Cina dan berkawan dengan Cina. Tidak bercampur dengan orang Melayu.

Pendek kata, sosialisasi mereka terlalu 'kecinaan'  atau 'keindiaan'. Berbeza sekali dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Apabila bahasa Melayu tidak ditekankan atau diwajibkan, sampai bilakah masa mereka akan menguasai dan menghayati agenda negara seperti bahasa negara?

Kita menganggap perkara ini kecil, lebih hina lagi, ada orang mencadangkan supaya menutup sekolah agama (tahfiz) dan iktiraf UEC. Wah! Hebat Malaysia.

Wahai pemimpin politik! Berfikirlah, rancanglah mulai sekarang, bagaimanakah untuk memandaikan rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati agenda negara sebelum terlambat. Janganlah asyik berpolitik kerana ia akan menghancurkan negara kita pada suatu nanti.

Akhirnya, saya rasa bersyukur atas kenyataan menteri pendidikan terbaharu, akan mengkaji UEC secara holistik sebelum diiktiraf terutama melibatkan subjek bahasa Melayu.


Dr Ridhuan Tee Abdullah merupakan profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak sementinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS