Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Pada saat PKR tertubuh daripada gerakan Reformasi untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa-masa tertentu tokoh itu dilihat sumber utama kekuatan dan sokongan yang diperolehi parti itu.

Suatu ketika PKR pernah digesa keluar daripada bayangan Anwar - atau dengan kata lain tidak lagi bergantung harap kepadanya.

Tetapi kini Anwar pula dilihat 'bergantung' kepada kekuatan PKR yang merupakan blok terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Itulah dinamik hubungan antara PKR dengan ketua umumnya sepanjang 20 tahun kewujudan mereka di pentas politik nasional.

Bagi Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Anwar sudah menjadi ibarat institusi dalam parti itu.

"Dalam PKR, kita menganggap kedudukan Anwar bukan saja Anwar (sebagai salah seorang pemimpin), tetapi sebagai satu institusi penting.

"Bermakna, pemikiran Anwar, asuhannya, amanatnya, dan visinya sangat dekat kepada kami," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini Jumaat lalu.

Kata Saifuddin lagi, ia tidak bermakna PKR akan berkubur tanpa Anwar tetapi sinonim kedua-dua entiti itu adalah pada idealogi reformasi yang dibawa.

"Sepuluh tahun dia dalam penjara tetapi PKR tetap hidup," katanya, merujuk pemenjaraan Anwar sebanyak dua kali iaitu pada 1999 dan 2015.

Menariknya Anwar sendiri tidak pernah secara rasmi menjadi pemimpin tertinggi parti itu ekoran kekangan undang-undang. Kini menjelang pemilihan parti yang bermula Ogos ini, semakin banyak suara yang menggesa beliau bertanding bagi kerusi presiden.

Malah seruan itu datang daripada pemimpin yang dilihat daripada dua kem berbeza, termasuk naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad.

Malah Shamsul yang dilihat sebagai penyokong Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa jawatan ketua umum dimansuhkan - posisi yang adakala mengundang kritikan kerana ia tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun menurut Saifuddin, di mata PKR keistimewaan Anwar menyebabkan beliau berbeza jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin lain.

"Bukan soal beliau diundi atau tidak. Kita tak boleh padankan beliau dengan Rafizi, Azmin dan Nurul Izzah yang dipilih (melalui pemilihan parti).

"Kita tak letak Anwar sama rata seperti itu dengan orang lain - sebab itu nama dia Anwar Ibrahim," katanya yang juga anggota parlimen Kulim-Bandar Baru.

Kem Azmin lawan kem Rafizi?

Cubaan pertama Anwar untuk bertanding jawatan presiden pada 2007 tersekat separuh jalan apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengancam untuk mengharamkan PKR, kerana ketika itu beliau masih dalam tempoh larangan memegang jawatan politik selama lima tahun selepas dibebaskan dari penjara pada 2004.

Sebagai jalan keluar, kongres PKR meluluskan usul melantiknya sebagai ketua umum.

Masih tidak pasti sama ada Anwar akan bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan tahun ini walaupun isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah sudah menyatakan kesediaan untuk berundur demi memberi laluan.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini semakin kuat pengaruhnya selepas dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Ditambah pula dakwaan wujudnya 'kem Azmin' dalam PKR - walaupun dinafikan Wan Azizah - maka tidak pelik jika timbul desas-desus mengatakan beliau akan mencuba nasib merebut kerusi itu.

Bagaimanapun Saifuddin berkata tiada tanda Azmin menyimpan hasrat itu, sebaliknya kekal komited membantu kepimpinan tertinggi.

"Sepanjang mengenali Azmin, sejak sama-sama terlibat dalam parti ketika awal penubuhan sampai sekarang, turun naik bersama-sama, kalah dan menang... sehinggalah ketika ini kami menjadi parti terbesar dalam HARAPAN.

"Tiada sebarang tanda beliau berhasrat meletakkan dirinya pada kedudukan nombor satu (dalam PKR) selagi Anwar dan Wan Azizah masih ada," katanya.

Saifuddin sendiri tidak setuju jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Walaupun Anwar atau Wan Azizah dicabar, beliau yakin mereka mampu menang dengan selesa kerana mempunyai sokongan anggota parti.

Baginya sendiri, beliau yang kini menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna belum memutuskan jawatan mana yang akan ditandinginya.

Beliau dilihat sebagai unsur penting dalam pasukan naib presiden Rafizi Ramli, yang kini diperkatakan sedang mempersiapkan barisan untuk berdepan pasukan Azmin.

"Saya belum buat keputusan...kerana tugas sebagai setiausaha agung memerlukan saya bersiap untuk pemilihan parti," katanya lagi.

Tiada lagi baling kerusi

Pemilihan PKR kali ini boleh dikatakan antara paling menarik.

Selain tiada sekatan lagi untuk Anwar bertanding - pada masa sama mungkin dicabar - ini pemilihan pertamanya sebagai parti pemerintah. Malah tidak sampai beberapa bulan pula.

Berbeza dengan sistem perwakilan mengikut undian, semua anggota parti layak untuk mengundi.

Dengan nada tegas, Saifuddin berkata pemilihan kali ini harus berjalan secara tertib dan matang dan tiada lagi insiden kekecohan seperti sebelumnya.

Pemilihan 2014 dicemari dakwaan penipuan dan, paling diingati, insiden baling kerusi yang mendapat liputan meluas media ketika itu.

"Pemilihan PKR tidak boleh lagi ada kekecohan. Sebelum ini kami pembangkang tetapi kini sebahagian daripada kerajaan.

"Lebih-lebih lagi pemilihan Umno bulan lalu berjalan dengan cantik dan lancar. Rakyat akan tengok nanti," katanya yang percaya anggota parti kini lebih matang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS