Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris membidas kerajaan Pakatan Harapan yang didakwanya melantik “orang sakit” sebagai menganggotai jemaah menteri sekadar untuk “makan gaji dan elaun duit rakyat”.
Merujuk kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang pengsan dalam majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di Putrajaya, semalam, katanya, pemimpin AMANAH itu tidak layak diberikan jawatan.
“Semua tahu Hanipa Maidin ni tak sihat dan sakit stroke, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan lain-lain yang kronik.
“Untuk apa orang sakit kronik dilantik timbalan menteri? Nak berkhimat atau makan gaji dan elaun duit rakyat?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Penulis blog yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Papagomo pada tahun 2014 pernah dijatuhkan hukuman bersalah kerana memfitnah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan tindakannya menyiarkan beberapa imej lucah didakwa kononnya ahli politik terbabit bersama seorang lelaki lain, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan dia membayar ganti rugi sebanyak RM800,000.
Keputusan itu dibuat hanya dua bulan selepas identiti sebenarnya didedahkan walaupun dia menafikannya.
Keputusan berkenaan kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan pada 26 Julai tahun lalu.
Mengulas lanjut, Wan Muhammad Azri berkata, beliau bukan bertujuan menghina Hanipa tetapi kerajaan hari ini sepatutnya serius dalam menunaikan janjinya iaitu berkhidmat untuk rakyat.
“Kalau dah orang sakit dilantik timbalan menteri dan asyik cuti sakit macam mana nak bekerja? Ramai lagi anggota parlimen Pakatan Harapan boleh dilantik jadi timbalan menteri ganti Hanipah.
“Jika dikira gaji dan elaun timbalan menteri jumlahnya mencecah RM50 ribu sebulan. Apakah ini yang hendak diberikan kepada Hanipah yang tak layak menjalankan tugas?.
“Jangan kerana tamak kuasa dan fikir tembolok nak makan gaji menteri dan elaun yang cecah RM50 ribu sebulan sampai sanggup letak orang sakit. Ni semua pembaziran yang sepatutnya tak berlaku dalam kerajaan HARAPAN yang hari ini kata kerajaan rakyat,” katanya.
Hanipa semalam dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi belum pun sampai 10 jam, beliau sudah berasa bosan dan ingin kembali bertugas.
Namun permintaannya untuk kembali ke pejabatnya tidak dibenarkan oleh doktor.
"Saya okey. Alhamdulillah. Tapi boring gila di hospital. Saya minta kebenaran doktor untuk kembali ke pejabat tapi tak dapat.
"Lesu rasanya. Apa-apapun, terima kasih atas doa anda semua. Hidup Pakatan Harapan," kata anggota parlimen Sepang itu.