ULASAN l Saya mengalu-ngalukan kenyataan Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menjawab pertanyaan umum apakah langkah kerajaan untuk mengawal sekolah Tahfiz berikutan tragedi dahsyat kebakaran yang membunuh lebih 20 orang pelajar tahfiz di Kuala Lumpur tidak lama dahulu.
Kajian dan siasatan telah dijalankan oleh beberapa pihak termasuk kementerian pelajaran tetapi sepi kerana kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak berani menyentuh senstiviti agama.
Tiada pengumuman terperinci tentang langkah seterusnya yang akan diambil Kajian itu terus terbenam bersama terbenamnya kerajaan BN. Jabatan-jabatan agama yang terlibat juga mendiamkan diri seolah-olah mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.
Provokasi saya telah menghasilkan jawapan yang ditunggu oleh masyarakat Islam di negara ini yang semakin ramai memandang serong dan negatif terhadap sekolah tahfiz persendirian. Masih tidak ada kawalan berkesan terhadap pertumbuhannya.
Langkah kerajaan untuk mengawal selia sekolah tahfiz supaya tidak terasing daripada sistem pendidikan yang ditetapkan seperti yang dinyatakan oleh Mujahid - itulah yang menjadi harapan masyarakat Islam di negara ini.
Kejayaan sekolah tahfiz melahirkan huffaz profesional adalah terpencil. Banyak anak-anak kita yang akan menjadi korban dan membuang masa di sekolah tahfiz persendirian yang masih di luar kawalan.
Sekolah tahfiz persendirian sudah menjadi perdagangan para ustaz. Saya ingin menarik perhatian Mujahid sebab yang mendorong saya menggesa ia ditutup dulu.
Kehendak ibu bapa, eksploitasi ustaz
- Seorang rakan peguam saya di Pulau Pinang mengendalikan satu kes di mana seorang ustaz telah menukarkan tanah yang diwakafkan kepadanya, tanpa surat perjanjian, untuk membuka sekolah tahfiz kepada namanya.
Kes belum selesai dan banyak lagi kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa seumpama ini yang mengambil kesempatan daripada sentimen agama.
- Murid-murid sekolah tahfiz dieksploitasi untuk menjual buku-buku agama dan mengutip derma daripada orang ramai. Ramai yang menunggu di hadapan bank-bank, mengutipnya di kedai-kedai mamak, serta dari rumah ke rumah - cara sama oleh kumpulan Al-Arqam suatu masa dahulu.
- Kalangan ibu bapa yang telah berjaya dalam hidup menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz dengan kepercayaan mempunyai anak huffaz akan membantu membasuh dosa mereka dan jika mati, mayat tidak akan hancur.
(Mayat Joseph Stalin dan Mao Zedong tidak hancur dan disimpan di Moscow dan Beijing. Mayat sami Buddha yang terkenal juga disimpan di Thailand dan sesekali dikeluarkan untuk tontonan ramai. Apa perlunya mayat tidak hancur?)
- Banyak tragedi berlaku di sekolah agama bukan kerajaan. Selain daripada kebakaran, kemalangan dan penderaan, hukuman dan tekanan juga dikenakan ke atas pelajar oleh ustaz yang tidak mempunyai latihan pendidikan yang sempurna dan profesional.
Anak-anak yang masih muda membuang masa di sekolah-sekolah ini yang tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik yang moden.
- Sekolah tahfiz mula bertumbuh ustaz yang tidak mempunyai nilai ekonomi menyedari inilah satu cara mudah untuk mendapat sedekah atau memperdagangkan agama.
(Ini juga akan diwarisi oleh murid-murid mereka yang juga nanti tidak mempunyai nilai komersial)
Mahathir, Mujahid, Maszlee
Pejabat-pejabat agama negeri tidak berani bertindak kerana sensitiviti agama dan menghormati golongan yang berjubah dan berkopiah putih.
Kerajaan BN pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu berani mencabar sensitiviti pemimpin agama, ulama-ulama yang tidak relevan dan juga tokoh-tokoh politik Islam yang karut. Beliau ikhlas mahu mengubah pemikiran umat Islam negara ini agar mampu menghadapi cabaran zaman dengan membina pendidikan agama dan indoktrinasi Islam yang bersifat universal, progresif, dinamik dan profesional.
Beliau membina institusi-institusi Islam yang bertujuan membangunkan imej agama ini bukan saja di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam di negara ini.
Selepas beliau bersara, tidak ada lagi perdana menteri yang sanggup memerangi aliran pemikiran Islam yang jumud, kolot dan mundur ini dalam bidang politik, ekonomi dan keilmuan. Program agama di TV dan radio mengutamakan komersial dan menjalankan indoktrinasi doa untuk ke syurga.
Umno tunduk kepada hukum hudud PAS, menyebabkan orang bukan Islam terutama MCA merasa mereka dikhianati Umno yang sekian lama menjadi kawannya. Orang Cina pula menolak UMNO.
Alhamdulillah setelah Mahathir kembali sebagai perdana menteri, beliau mendapat dua orang sarjana Islam yang dinamik dan progresif iaitu Mujahid dan Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik.
Saya percaya dua menteri ini yang mempunyai latar belakang akademik yang seimbang dan boleh menjadi contoh pembinaan masyarakat Islam yang berkualiti dan terhormat di negara ini.
Mereka juga boleh meminta bantuan untuk memajukan Islam yang sihat daripada intelektual Islam yang terhormat di negara ini, seperti pakar motivasi Datuk Mohd Fadzilah Kamsah, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Ketua Pengarah IKIM Dr Ismail Ibrahim dan bekas Pengerusi Bank Islam Dr Abdul Halim Ismail.
Adalah menjadi harapan saya agar program agama di TV dan radio mempunyai penasihat yang tidak berasaskan komersial dan doktrin doa sebagai jalan ke syurga semata-mata.
Cabaran zaman sekarang tidak boleh hanya dijawab dengan doa sepanjang masa. Doa tanpa usaha adalah khayal dan usaha tanpa doa adalah bongkak.
Jalan ke syurga bagi anak-anak Islam masa depan adalah dengan pencapaian cemerlang dalam semua bidang ilmu termasuk penguasan Bahasa Inggeris yang baik yang boleh meninggikan martabat orang Islam di negara sendiri.
Bahasa Arab tidak lagi mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali dalam bidang agama. Mana ada orang Arab yang terkenal di dunia dalam bidang profesional kerana bahasa Arab sendiri terbantut kemajuannya dalam bidang ilmu.
Orang kita tidak berani berterus-terang dalam hal ini kerana telah menyekutukan Arab dengan Islam. Anak-anak Melayu lebih maju di bidang profesional berbanding orang Arab yang hanya maju dalam bidang berbunuhan sesama sendiri.
TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.