Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata beliau sanggup berundur sebagai presiden PKR jika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk bertanding dalam pemilihan parti itu.
Bagaimanapun, jelas Dr Wan Azizah, beliau akan bertanding jawatan presiden jika Anwar kekal menjadi Ketua Umum PKR.
"Saya tidak akan bertanding jika dia bertanding (jawatan presiden)," katanya dipetik dalam laporan The Malaysian Insight.
Pemilihan parti itu akan diadakan penghujung Ogos, sementara pencalonan akan mula dibuka pada 29 Julai.
Sementara itu, The Malay Mail melaporkan Dr Wan Azizah - yang menerajui PKR hampir 20 tahun - menafikan kewujudan kem bertentangan di dalam PKR antara penyokongnya dan penyokong suaminya.
Beliau menambah bahawa sesiapa saja yang berhasrat boleh bertanding jawatan presiden.
"Tidak wujud kem Wan Azizah atau kem Anwar menjelang pemilihan. Sesiapa saja bebas bertanding jawatan presiden," katanya.
Dr Wan Azizah pertama kali menjadi presiden Parti Keadilan Nasional pada 1999, susulan pemenjaraan Anwar oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian menyaksikan gerakan Reformasi.
Beliau kemudian menjadi presiden sekali lagi selepas parti itu bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi PKR.
Media sering melaporkan konflik dalaman PKR, termasuklah sebelum pilihan raya umum (PRU) ke- 14 yang lalu, dengan spekulasi perseteruan antara Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Rafizi Ramli.
Naib Presiden PKR Tian Chua sebelum ini pernah mengingatkan Anwar dan Dr Wan Azizah agar tidak mempedulikan kumpulan yang melobi dalam menentukan calon PRU.