Sejumlah 32,435 kes demam denggi dengan 53 kematian dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 30 Jun tahun ini, penurunan sebanyak 34.8 peratus atau 17,291 kes daripada 49,726 kes dan 110 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan 18,249 kes dan 14 kematian, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2,776 kes dengan enam kematian dan Johor 2,747 kes dengan tujuh kematian, bagi tempoh sama.
"Malaysia berjaya mengurangkan kes dan kematian akibat denggi selama dua tahun berturut-turut iaitu 16 peratus kes dan kematian 29 peratus pada 2016 manakala 17 peratus kes dan kematian 25 peratus pada 2017.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara pelbagai kementerian dan agensi di peringkat kementerian melalui platform Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Denggi Asean 2018 di Sekolah Rendah Agama Sungai Kayu Ara di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya sukarelawan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) yang turut menjadi jentera penggerak untuk menjalankan aktiviti pencegahan denggi turut membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan setempat.
Berhubung sambutan hari denggi, Dr Dzulkefly berkata ia bertujuan meningkatkan kolaborasi dan tindakan bersepadu antara negara di rantau Asean dalam membanteras denggi di samping memperkasa penglibatan komuniti dalam mencegah denggi.
"Malaysia menjadi tuan rumah kali ini dan tema sambutannya ialah "Komuniti Asean Membanteras Denggi". Dengan tema ini, komuniti di semua negara Asean dapat digerakkan secara holistik dan komprehensif bagi menjamin kejayaan berterusan dalam pencegahan denggi," katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan di sekolah itu adalah pameran akhbar, pameran COMBI dan lawatan menteri serta delegasi Asean ke kawasan pameran.
- Bernama