Kebakaran dua tangki minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) berjaya dipadamkan hampir sepenuhnya hari ini, namun masih tinggal satu tangki lagi yang 30 peratus terbakar.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu Sharikan Bustaman berkata setelah beroperasi selama 43 jam sejak Khamis lepas, api pada dua tangki berjaya dipadamkan sekitar 6.40 pagi dan 10 pagi tadi.
“Pada 3 pagi tadi boleh dikatakan angin agak tenang dan ketika itu kami menumpukan sepenuhnya pada proses untuk memadam kebakaran...Kita anggarkan keseluruhan kebakaran tersebut dapat dipadamkan lewat malam ini,” katanya ketika ditemui di kawasan perindustrian KBC Telok Kalong di Chukai.
Beliau berkata keadaan angin yang kuat pada hari ini mengganggu konsentrasi anggota bomba dan menyukarkan operasi kerja-kerja memadam kebakaran kerana pihaknya terpaksa menukar anggota setiap dua jam bagi memastikan konsentrasi anggota tidak terjejas.
“Keadaan yang berangin menyebabkan kami sukar menempatkan hala tuju pancutan air dan apabila hendak tuju pada satu posisi, kami terpaksa mengambil langkah ke arah 30 darjah daripada sasaran sebenarnya akibat keadaan angin,” katanya.
Sharikan berkata operasi pada hari ketiga melibatkan 196 anggota JBPM Terengganu termasuk anggota bantuan daripada JBPM Perak, Pahang serta bantuan sembilan agensi lain dengan kekuatan 46 anggota iaitu polis, Hospital Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ERT KBC, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (Dosh) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dalam kejadian kebakaran yang bermula 6.15 petang Khamis lepas membabitkan tiga tangki (daripada enam) yang mengandungi minyak mentah lebih 20,000 liter padu itu, seorang pekerja di kilang itu dilaporkan cedera parah manakala tiga lagi mengalami cedera ringan.
- Bernama