Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini mengadakan program Kaunter Khidmat Rakyat untuk memberikan bantuan yang terbaik kepada golongan berpendapatan rendah B40.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata program berkenaan yang diadakan di Pasar Awam Kampung Tawas, di Ipoh, merupakan sebuah projek perintis untuk menyelesaikan masalah tuntutan atau perkara yang melibatkan perkhidmatan pekerjaan golongan berkenaan.
"Idea kita adalah untuk turun padang dan berjumpa, selain memberi pertolongan untuk membuat tuntutan mereka menerusi ketiga-tiga agensi ini (Perkeso, Jabatan Tenaga Kerja, JKKP).
"Saya rasa banyak kes yang mana masalah yg dihadapi mereka tidak ada masa atau tidak tahu macam mana untuk mendapat bantuan, jadi kita turun padang hari ini. Ini adalah pilot projek kali pertama diadakan dan akan dijalankan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan pada program berkenaan, di Ipoh hari ini.
Menurut beliau, perkhidmatan yang diberikan secara turun padang di lokasi-lokasi seperti pasar awam ini adalah bagi memudahkan komuniti setempat untuk berjumpa selain mengadakan urusan dengan lebih dekat dengan agensi-agensi berkenaan.
Ingin tahu kelayakan tuntutan
“Tidak semua orang 'IT (teknologi maklumat) savvy (mahir)', kadang-kadang ‘sentuhan peribadi’ itu lebih baik. Malah kita rasa pasar adalah tempat sesuai diadakan program ini kerana ramai golongan B40 dan ke bawah tiada masa untuk pergi ke tempat lain.
"Kami hanya mahu tahu sumbangan mereka dan mereka juga ingin tahu kelayakan tuntutan mereka kerana ada kalanya mereka tidak peka. Jadi mereka boleh datang ke sini dan sebaik sahaja kami dapat maklumat mereka, kami akan hantar pasukan ke rumah mereka, bawakan borang dan bantu mereka isi borang berkaitan,” katanya dan menambah program itu akan diadakan sebulan sekali selama dua hingga tiga jam.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya pemberita berhubung status pelajar yang masih belum menerima dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) setelah ditangguhkan, Kula Segaran berkata perkara itu sedang dalam proses siasatan berikutan permasalahan kewangan dengan kerajaan terdahulu.
"Kami baru ambil alih daripada kerajaan terdahulu, kami ingin siasat, selesaikannya dan kemudian akan berikan duit itu, tak lama lagi,” katanya.
- Bernama