Paling Popular
Terkini
story images
story images

WAWANCARA | Menteri agama yang baru, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengulas mengenai isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), berkata setiap warganegara mempunyai hak mereka.

Justeru, beliau yang dikritik bersikap 'lunak' dengan golongan berkenaan berpendapat mana-mana warganegara tidak kira sama ada mereka LGBT atau bukan sekiranya tidak melakukan jenayah, pihaknya tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

Walaupun perbuatan golongan LGBT itu berdosa namun Mujahid menjelaskan, sekiranya ia tidak mencabar undang-undang negara, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan.

"Perbuatan LGBT haram. Kalau buat sembunyi-sembunyi pun tetap haram tetapi itu antara dia dan Allah. Allah akan membalas di atas perbuatan mereka. Tetapi kalau mereka secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan.

"Contohnya, minum arak berdosa, haram. Kalau dia minum secara terbuka dan berkata "suka hati aku nak minum" itu jenayah. Kerana mencabar undang-undang.

Ruang personal, ruang publik

"Secara moralnya, itu dia ada dia punya ruang personal. Tetapi jangan memberi galakan di ruang publik sebab ia akan menjadi jenayah. Kalau di ruang personal, tiada siapa, sebagai Muslim tetap bersalah dan berdosa," ujarnya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Sehubungan itu, Mujahid berkata beliau akan terus melakukan dialog dan mendekati golongan berkenaan bagi memberi penjelasan bahawa perbuatan yang dilakukan mereka bercanggah dengan agama Islam.

"Di sini kita perlukan dialog. Dialog bukan bermakna menyokong. Kita tak sokong LGBT, ia perbuatan bercanggah dengan Islam, melanggar moral dan adat.

"Tetapi dengan dialog kita akan dapat banyak faedah untuk saya jelaskan pada mereka," katanya lagi.

Manakala itu, anggota parlimen Parit Buntar berkata usul Rang Undang-undang 355 (RUU355) tidak substantif berbanding isu yang melibatkan penstrukturan semula mahkamah syariah.

Bagaimanapun, Mujahid berkata, terpulang kepada pihak kerajaan sama ada mahu membawa usul berkenaan di sidang Parlimen akan datang atau tidak.

"Saya rasa isu ini (RUU355) ini isu politik dan bukan substantif. Sebab isu yang substantif ialah untuk memperkasakan mahkamah syariah, bukan meningkatkan had hukum.

"Isunya ialah mempertingkatkan segala kelemahan yang ada di mahkamah syariah seperti macam mana perlu perkasakan lagi struktur proses, sumber manusia, gaji para hakim. Kan ia lebih substantif.

"Kalau tingkatkan had hukum adakah selesai isu-isu ini?" Soal Mujahid.

Ditanya lagi sekiranya ada 'harapan' usul itu akan dibawakan pada sidang parlimen yang akan bermula 16 Julai ini, Mujahid kata ia terpulang kepada kerajaan.

PAS punya hak bawa usul

"Saya tak tahu. Terpulang pada PAS sebab dia mempunyai hak nak bawa (usul itu). Tapi terpulang pada kerajaan hari ini sama ada lihat ia keutamaan.

"Kami tidak akan politikkan isu agama kerana ada benda lain yang lebih besar daripada politik ini," kata Mujahid lagi.

Usul RUU 355 atau pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 gagal dibahaskan pada sidang parlimen yang lalu.

Sebelum itu, usul berkenaan dibentang tiga kali pada sesi persidangan Dewan Rakyat pada April 2016 oleh Hadi sebagai usul persendirian.

Namun pihak PAS menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat yang lalu agar memasukkan usul berkenaan ke dalam sidang penggal ke-14.

Usul pindaan Akta 355 mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pelaku syariah dan mencadangkan hukuman maksimum terhadap pesalah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Hukuman sebelum ini ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS