Peguam Negara Tommy Thomas tidak menyedari bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sophian Abd Razak, yang membicarakan kes terhadap Datuk Seri Najib Razak, mempunyai pertalian darah dengan seorang pemimpin Umno.
Menurut The Star, Thomas memberitahu wartawan demikian selepas Najib didakwa di mahkamah tinggi Kuala Lumpur, semalam.
"Ini kali pertama saya mendengarnya," katanya.
Hakim Sophian adalah adik kepada Datuk Mohd Soffi Abdul Razak yang merupakan ADUN Pahang selama lima penggal dan juga adalah anggota exco kerajaan negeri selama empat penggal.
Secara kebetulan, Najib juga berasal dari Pahang.
Najib didakwa semalam atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.